Jumaat, 13 Mei 2022 | 12:34pm
Bangunan PERKESO Kedah.
Bangunan PERKESO Kedah.

'Mahu jumpa bapa di syurga'

ALOR SETAR: "Sejak suami pergi mengejut akibat COVID-19 dua hari sebelum Ramadan, anak bongsu saya sering bertanya di mana bapanya, sekarang dia sudah faham tapi dia selalu cakap rindu bapa dan boleh tak nak jumpa bapa di syurga nanti," kata Rahayu Md Isa, 50.

Ibu kepada lima orang anak ini, berkata suaminya Mat Tarmizi Shaari, 52, meninggal dunia pada hari Jumaat (1 April) kira-kira jam 1.05 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas disahkan positif COVID-19 pada 26 Mac lalu.

Katanya, sejak suaminya 'pergi', keadaan rumah mereka sunyi tanpa gelak ketawa namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

"Suami suka buat jenaka, saya bersama anak-anak selalu ketawa, dia juga ramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

"Kehilangannya sangat terkesan dalam hidup kami enam beranak, anak bongsu saya baru berusia tujuh tahun, saya selalu pujuk dia agar rajin solat supaya boleh jumpa bapanya di syurga," katanya yang tinggal di Alor Janggus di sini.

Rahayu ditemui selepas menerima bayaran faedah pencen penakat Petubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Majlis Sambutan Aidilfitiri di Pejabat PERKESO di sini, semalam.

Hadir bagi menyampaikan faedah itu ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Rahayu dan tiga anaknya yang berusia bawah 21 tahun menerima faedah berkenaan sebanyak RM2,394 sebulan selepas suaminya yang bekerja di Pos Laju di sini merupakan pencarum pertubuhan berkenaan.

Katanya, dia akan menggunakan wang itu untuk menyara anak-anaknya belajar selain untuk membeli barang keperluan mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, wang ini sedikit sebanyak mampu membantu saya untuk membesarkan anak-anak, walaupun suami saya sudah tiada namun masih ada sesuatu yang dia tinggalkan untuk anak-anak," katanya yang juga pembantu tadbir di Kompleks Mahkamah di sini.

Pada majlis itu seramai Awang menyampaikan bayaran faedah PERKESO Kedah berjumlah keseluruhan RM26,100 kepada 13 orang berinsurans, manakala keseluruhan PERKESO Kedah membuat bayaran faedah berjumlah RM29 juta tahun lalu, berbanding lebih RM41 juta pada 2020.

Awang berkata selain itu, PERKESO turut membuat bayaran untuk kes COVID kepada orang berinsurans yang dijangkiti COVID-19 di tempat kerja sejak Januari hingga April 2022 yang berjumlah lebih RM7 juta dengan 4,633 kes.

Berita Harian X