Jumaat, 13 Mei 2022 | 12:22pm
Jenazah tiga pelajar rentung tiba di Jabatan Forensik Hospital Taiping, pagi ini untuk menjalani bedah siasat. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Jenazah tiga pelajar rentung tiba di Jabatan Forensik Hospital Taiping, pagi ini untuk menjalani bedah siasat. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Jenazah tiga pelajar USAS dihantar ke Hospital Taiping

TAIPING: Jenazah tiga daripada lima pelajar mangsa kemalangan di KM245.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, tengah malam semalam selamat tiba di Jabatan Forensik Hospital Taiping, pagi ini untuk menjalani bedah siasat.

Trak polis yang membawa ketiga-tiga jenazah yang dipercayai adalah Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dilihat tiba kira-kira jam 10.30 pagi tadi selepas berlepas dari Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, tiada waris mangsa terbabit kelihatan di Unit Forensik Hospital Taiping, sebaliknya dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran dan Kewangan) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Madya Dr Anas Md Yusof dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Taiping, Mohd Wazir Khalid.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar yang menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Anas bagi pihak waris mangsa.

Semalam, kelima-lima jenazah mangsa ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asiaten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi, berkata bedah siasat tiga jenazah selebihnya akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Taiping, hari ini.

Katanya, malah semua keluarga (waris) mangsa terbabit sudah memberikan sample untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Sementara itu, difahamkan pemindahan tempat menjalani proses pengecaman dan bedah siasat tiga jenazah terbabit perlu dilakukan atas sebab ia perlu dikendalikan oleh pakar forensik berikutan, keadaan mayat yang tidak sempurna selain ketiadaan dokumen pengenalan identiti dijumpai pada mangsa.

Berita berkaitan

'Kelas pagi ini sangat sayu'

Lima pelajar USAS mangsa nahas Terowong Menora

Nahas dekat Terowong Menora, trafik sesak 13km

5 rentung dalam satu kereta

5 pelajar maut, USAS ucap takziah

Semalam, jenazah dua lagi mangsa iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat disembahyangkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selepas identiti kedua-dua jenazah itu disahkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, dilaporkan berkata dua mangsa itu dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada jenazah mereka selain melalui proses post morterm yang dilaksanakan Pakar Forensik Hospital Taiping kira-kira jam 2 petang semalam.

Jenazah Ahmad Akmal dilapor sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau, Kampung Kedah, Parit Buntar, pada jam 11.20 malam tadi manakala jenazah Ahmad Naim Najmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kijal, di Chukai, Terengganu kira-kira 8.15 pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam semalam (Khamis), lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler muatan besi dari arah belakang ketika melalui kawasan penyelenggaraan jalan dikendalikan PLUS Berhad.

Berita Harian X