Jumaat, 13 Mei 2022 | 7:57am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden AS, Joe Biden di Rumah Putih sempena Sidang Khas AS-ASEAN di Rumah Putih, Washington. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden AS, Joe Biden di Rumah Putih sempena Sidang Khas AS-ASEAN di Rumah Putih, Washington. - Foto BERNAMA

Ismail Sabri, pemimpin ASEAN bertemu Biden

WASHINGTON: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin ASEAN di Rumah Putih.

Presiden Biden mengadakan pertemuan dengan pemimpin ASEAN untuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS selama dua hari di sini bermula semalam.

Pertemuan bersejarah ini dilihat sebagai titik permulaan untuk membawa impak positif terhadap hubungan diplomatik, dagang dan ekonomi kepada Malaysia.

Ismail Sabri turut menekankan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS di sidang kemuncak itu, selain berharap semoga sidang kemuncak khas ini akan menjadi landasan strategik bagi ASEAN dan AS mengkaji serta meneroka bidang kerjasama pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.

Ismail Sabri kemudian menyertai Biden dan pemimpin ASEAN untuk bergambar berkumpulan di perkarangan Rumah Putih.

Ismail Sabri menyertai Biden dan pemimpin ASEAN untuk bergambar berkumpulan di perkarangan Rumah Putih.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (tengah) bergambar kenangan bersama pemimpin negara ASEAN sempena Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN di Rumah Putih, Washington. - Foto BERNAMA
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (tengah) bergambar kenangan bersama pemimpin negara ASEAN sempena Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN di Rumah Putih, Washington. - Foto BERNAMA

Mereka kemudiannya menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Biden di Rumah Putih.

Sidang kemuncak khas dengan pemimpin negara Asia Tenggara itu kali kedua dianjurkan oleh Presiden AS di negara ini.

Pada Februari 2016, Presiden ketika itu, Barack Obama mengalu-alukan pemimpin ASEAN di Sunnylands, California.

Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri pertemuan kali ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia, Joko Widodo, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Rumah Putih, Washington DC disambut mesra oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden malam Khamis (Jumaat di Malaysia). - Foto Pejabat Perdana Menteri

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos, Dr Phankham Viphavanh juga menghadirinya.

Filipina yang kini mengadakan pilihan raya umum diwakili Setiausaha Luar Teodoro Locsin Jr.

Tiada wakil dari Myanmar, negara di bawah pemerintahan junta berikutan rampasan kuasa 1 Februari 2021.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pentadbiran Biden menetapkan sebagai keutamaan untuk menjadi rakan yang kukuh dan boleh dipercayai di Asia Tenggara.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS secara maya pada Oktober tahun lepas, Biden mengumumkan US$102 juta (RM448 juta) dalam inisiatif baharu untuk mengembangkan pembabitannya dengan ASEAN.

Ia meliputi pemulihan COVID-19, kesihatan, keselamatan, menangani krisis perubahan iklim, merangsang pertumbuhan ekonomi yang meluas dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat. - BERNAMA

Berita Harian X