Khamis, 12 Mei 2022 | 9:11pm
Kemalangan maut di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar tengah malam tadi. - Foto Bomba
Kemalangan maut di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar tengah malam tadi. - Foto Bomba

Pemandu treler terbabit nahas miliki 22 saman, direman 4 hari

KUALA KANGSAR: Pemandu treler yang ditahan bagi membantu siasatan susulan kemalangan maut di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar tengah malam tadi, direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, reman ke atas pemandu berusia 28 tahun sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan polis mendapati pemandu treler itu mempunyai 22 saman. Daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman kesalahan pandu laju," katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Dalam kemalangan itu, lima mangsa yang rentung adalah pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang juga rakan serumah.

Mereka ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang.

Kemalangan maut di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar tengah malam tadi. - Foto Bomba
Kemalangan maut di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar tengah malam tadi. - Foto Bomba

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila treler membawa muatan jubin datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM246 hingga 244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.

Pada masa sama, kereta jenis Honda City dinaiki lima pelajar itu mengekori treler secara perlahan, namun tiba-tiba datang treler lain membawa muatan besi pagar dari arah sama di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak, lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

Treler itu kemudian menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan jubin berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X