Khamis, 12 Mei 2022 | 9:09pm
Foto dirakamkan pada 14 September 2019 menunjukkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertukar dokumen Piagam Muafakat Nasional dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Foto dirakamkan pada 14 September 2019 menunjukkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertukar dokumen Piagam Muafakat Nasional dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PAS lebihkan PN daripada MN - Shahril

KUALA LUMPUR: Kerenggangan hubungan UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN) didakwa tercetus selepas PAS dilihat lebih mengutamakan pihak ketiga termasuk Perikatan Nasional (PN), berbanding berusaha untuk mengukuhkan MN itu sendiri.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata tindakan pemimpin PAS yang masih menyalahkan UMNO dan pemimpinnya, menunjukkan seolah-seolah PAS sendiri menolak agenda penyatuan.

"Semalam Senator Ir Ts Khairil Nizam, Ketua Penerangan PAS menyatakan bahawa PAS menjamin agenda penyatuan ummah akan diteruskan biarpun Presiden UMNO 'menolak' agenda ini. Ini kenyataan tidak benar.

"Ini bukan ayat dan nada pihak yang mahu melihat penyatuan. Bagaimana mahu menyatukan dengan parti lain kalau terang-terang memburukkan pimpinannya?" katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, biarpun pemimpin UMNO khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sering menjadi sasaran mereka, namun beliau masih membuka pintu rundingan dengan PAS.

Katanya, ini termasuk kesediaan UMNO untuk berunding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sungguhpun UMNO tidak senang dengan keputusan PAS menyertai PN sebelumnya.

"Tapi Presiden UMNO berjiwa besar. Malah beliau tetap membuka pintu rundingan dalam dalam PRN-PRN yang lepas. Melalui Jawatankuasa Induk MN dahulu kita bersetuju untuk parti masing-masing menggunakan lambang masing-masing dan jentera masing-masing akan saling membantu dalam pilihan raya.

"Tetapi, di PRN Melaka, permintaan mudah oleh UMNO untuk PAS menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang PN pun tidak dapat dipenuhi PAS. Isyarat jelas dari PAS, PN lebih utama.

"Di PRN Johor, Setiausaha Agung UMNO mendedahkan PAS tidak memohon untuk bekerjasama bersama UMNO biarpun (Timbalan Presiden PAS) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan PAS akan berbincang bersama UMNO untuk membentuk kerjasama," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Khairil mengusulkan kepada pemimpin PAS supaya jawatankuasa induk MN bermesyuarat semula jika mereka betul-betul ingin meneruskan agenda penyatuan ummah melalui MN dan berhenti menyerang pemimpin UMNO di media sosial.

"Kami tak mencari sengketa. Tapi jika sengketa yang datang, kami akan terpanggil respon," katanya.

Beliau berkata, kenyataan Khairil juga mengajak orang UMNO dan PAS tertanya-tanya kenapa MN menjadi dingin dengan menyalahkan Presiden UMNO, sekali gus mengalih perhatian kepada punca sebenar kerenggangan hubungan itu.

Berita Harian X