Khamis, 12 Mei 2022 | 6:42pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KKM disaran wujudkan sistem 'whistleblower' atasi buli

GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan dicadangkan mewujudkan sistem penyampai maklumat atau 'whistleblower' bagi mengatasi insiden buli dalam kalangan petugas kesihatan termasuk doktor pelatih.

Presiden Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU), Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, pasukan bertindak yang sedang ditubuhkan Kementerian Kesihatan bagi menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih yang dikaitkan dengan isu buli di Pulau Pinang baru-baru ini perlu melihat budaya buli memberi kesan kepada semua orang dan bukan hanya doktor pelatih.

"Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) turut perlu diperkemaskan. Inisiatif ini nampak kecil tapi sebarang perubahan harus dimulakan dengan sesuatu yang mudah untuk dicapai.

"Misalnya seperti menambah baik platform sedia ada oleh pihak hospital bertujuan memberi sokongan dan menjadi saluran yang tepat untuk membantu doktor pelatih menghadapi dan mengatasi tekanan kerja seterusnya mencegah kejadian buli berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, PADU meletakkan harapan tinggi kepada pihak atasan agar benar-benar serius dalam merangka garis panduan untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata, PADU akan membantu mana-mana doktor perubatan yang ingin mendapatkan bantuan terutamanya membabitkan kes buli.

"Buli-membuli dalam bidang kesihatan di Malaysia bukanlah perkara baharu. Setiap kali ada kejadian yang tular, timbul kembali isu buli yang pernah berlaku dan merumitkan situasi.

"Didiklah doktor-doktor generasi baharu dengan budaya sihat di tempat kerja. Jika tidak kompeten, tegurlah dengan berhemah. Buli bukanlah jalan penyelesaian," katanya.

Menurutnya, aduan berhubung kes buli dalam kalangan doktor pelatih perlu diambil perhatian dan disiasat secara holistik bagi memastikan kesahihan sesuatu kejadian seterusnya mencari punca dan jalan penyelesaian terbaik untuk membendung masalah itu.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan doktor pelatih perlu ada mentaliti kental dan semangat juang yang tinggi untuk berdepan tekanan kerja ketika menjalani program latihan siswazah yang wajib dilengkapkan dalam masa sekurang-kurangnya dua tahun.

"Sebagai doktor pelatih, semestinya ada masa kerja yang panjang apabila mereka menghadapi jumlah pesakit yang sentiasa memerlukan perawatan dan penjagaan mereka.

"Kehidupan sebagai doktor perubatan tidak pernah mudah dan seseorang itu perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran mendatang dalam kerjaya perubatan mereka," katanya.

Berita Harian X