Khamis, 12 Mei 2022 | 1:25pm
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

COVID-19: Dos penggalak bantu elak risiko jangkitan teruk

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan pemberian dos penggalak kepada individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh dibuat secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

Individu 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain pula boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh sama selepas menerima dos penggalak pertama dan berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini memaklumkan, remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos primer dan berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

"Seperti yang dijelaskan sebelum ini, individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin COVID-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama telah terbukti boleh mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan COVID-19 yang teruk serta kematian.

"Namun disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity), terutamanya kepada individu dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan yang teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

"KKM juga ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X