Khamis, 12 Mei 2022 | 1:11pm
Polis menahan pemandu terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dekat Kuala Kangsar, hari ini. - Foto BOMBA
Polis menahan pemandu terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dekat Kuala Kangsar, hari ini. - Foto BOMBA

Polis tahan pemandu treler

IPOH: Polis menahan pemandu treler membawa muatan besi pagar, bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler hingga menyebabkan lima mangsa rentung di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira 1.45 pagi dan lelaki berusia 28 tahun ditahan, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara, memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri dari KM 246 hingga 244.4 ditutup, bagi penyelenggaraan jalan.

"Pada masa sama, kereta sedang mengekori di belakang treler itu dengan memperlahan kenderaan namun dengan secara tiba-tiba datang treler membawa muatan besi pagar yang memandu dari arah sama, di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak, lalu merempuh belakang kereta itu.

Berita berkaitan

Lima pelajar USAS mangsa nahas Terowong Menora

Nahas dekat Terowong Menora, trafik sesak 13km

5 rentung dalam satu kereta

5 pelajar maut, USAS ucap takziah

"Treler itu kemudian menyeretnya ke depan sehingga melanggar belakang treler muatan mozek berkenaan," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, kereta yang dinaiki lima lelaki dipercayai pelajar berusia 19 hingga 23 tahun berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Cukai, Terengganu; Parit Buntar, Perak; Batu Caves, Selangor dan Senai, Johor terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler di belakangnya.

"Pemandu dan empat orang penumpang dalam kereta itu tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri hingga menyebabkan semua mereka rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Anggota bomba kemudian mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dan rentung, sebelum dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar, hari ini," katanya. – BERNAMA

LIMA pelajar USAS yang terkorban dalam nahas awal pagi tadi. - Foto Fb USAS
LIMA pelajar USAS yang terkorban dalam nahas awal pagi tadi. - Foto Fb USAS

Berita Harian X