Khamis, 12 Mei 2022 | 1:11pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

PAS akan terus berusaha kembalikan Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR: PAS akan terus berusaha mengembalikan Muafakat Nasional (MN) serta tidak akan menjalin sebarang kerjasama politik dengan parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata perkara itu disampaikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada pertemuan mereka di Alor Setar, Kedah, semalam.

"Semalam saya terserempak dengan Datuk Takiyuddin di Hotel Raia, Alor Setar. Sambil bersalaman raya dan bertanya khabar beliau membisikkan kepada saya pendirian PAS tidak akan sesekali bekerjasama dengan PH dalam apa bentuk sekalipun.

"Beliau juga menegaskan akan terus mengusahakan kembali MN," katanya menerusi kenyataan dalam Facebook, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, beliau turut memberikan pandangan bahawa anak kuncinya ialah hubungan antara dua presiden parti utama umat Melayu Islam ini, kerana khemah besar sebenar politik Malaysia adalah kelompok UMNO dan PAS.

"Beliau memberikan 'salam penumbuk' sebagai tanda setuju.

"Saya juga memaklumkan kepadanya bahawa saya akan sentiasa menyokong usaha untuk memperkasakan kembali MN untuk meneruskan usaha murni penyatuan bersejarah ahli dua parti y besar ini.

"Ini kerana menyatukan umat Islam adalah tanggungjawab bersama semua pimpinan Islam. Ia tidak terhad kepada agihan kerusi pilihan raya semata-mata," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir, turut berpandangan sama, menyatakan PAS komited menjayakan agenda politik penyatuan ummah.

"PAS Selangor menghargai pengiktirafan PAS Pusat terhadap inisiatif dan komitmen penyatuan ummah yang diusahakan oleh PAS negeri ini dengan kerjasama UMNO Selangor sebagai mana diulas dalam kenyataan media terbaru Ketua Penerangan PAS Pusat.

"Sesungguhnya ketelitian dan kesungguhan meneroka jalan politik penyatuan ummah khasnya di Selangor ini adalah selaras dengan seruan berkali-kali Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Malah, katanya, ianya diperteguhkan lagi dengan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin bahawa penyatuan ummah itu adalah perintah Allah SWT.

"Justeru, PAS Selangor terpanggil untuk merealisasikan usaha ini walaupun ia bukan sesuatu yang mudah. Ternyata di Selangor usaha ini disambut baik dan didokong UMNO Selangor.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang dikuasai PH dan didominasi DAP, semua pihak bersetuju tiada jalan lain untuk menumbangkan kerajaan terbabit melainkan penyatuan ummah bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru, sebagaimana pernah dibuktikan kejayaannya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor.

"Terbukti politik penyatuan ummah ini cukup digeruni PH di Selangor lantas pelbagai usaha dilancarkan untuk menggagalkannya.

"PAS Selangor yakin dan percaya rakyat negeri ini sudah bersedia membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti dan mengharapkan usaha bersepadu dan kesatuan politik sebagaimana terbentuk di Semenyih dapat diulangi di semua 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor," katanya.

Berita Harian X