Khamis, 12 Mei 2022 | 11:49am

Kes buli doktor pelatih: Doktor pakar turut didakwa terbabit - Khairy

PUTRAJAYA: Lima nama yang didakwa sebagai pembuli doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) turut membabitkan doktor pakar, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, kesemua doktor yang didakwa terbabit dalam kes berkenaan masih bekerja seperti biasa dan tidak digantung tugas.

"Kita tidak boleh memindah keluar atau menggantung tugas doktor berkenaan, ada nama yang dihantar itu turut membabitkan peringkat pakar.

"Bukan senang kita nak pindah keluar doktor pakar. Jadi buat masa ini semua masih bertugas seperti biasa dan siasatan masih berjalan," katanya selepas merasmikan Hari Jururawat Sedunia, hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, berkata beliau sudah menyerahkan nama lima doktor di HPP yang didakwa pembuli kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi, lima doktor itu bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP kerana kes terbabit masih dalam siasatan.

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut, dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran di Jalan Datuk Keramat, Georgetown.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di HPP

Pada 6 Mei lalu, Khairy dilaporkan berkata, KKM akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih itu.

Berita Harian X