Rabu, 11 Mei 2022 | 8:11pm
King Oyen segak berbaju Melayu, lengkap bersokong dan bercermin mata hitam pada Majlis Rumah Terbuka Si Miow Beraya anjuran Kelab Kucing Malaysia di Plaza Shah Alam, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR
King Oyen segak berbaju Melayu, lengkap bersokong dan bercermin mata hitam pada Majlis Rumah Terbuka Si Miow Beraya anjuran Kelab Kucing Malaysia di Plaza Shah Alam, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR

King Oyen raya sakan

SHAH ALAM: "Kami sekeluarga anggap ia seperti anak sendiri, bukan kucing peliharaan semata-mata," kata pemilik kucing jantan jenis American Short Hair campuran Persian bernama 'King Oyen'.

Pemiliknya, Sofea Salleh, 49, berkata, King Oyen yang berusia empat tahun dibela seperti anak sendiri sejak dihadiahkan oleh anak sulungnya tiga tahun lalu.

"Saya ada tiga anak, jadi King Oyen ini saya anggap anak keempat. Anak saya pun anggap dia macam adik mereka," katanya ketika ditemui pada majlis 'Si Meow Beraya Bersama Rakan Media' anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) di Plaza Shah Alam, di sini, hari ini.

Disebabkan itu, Sofea berkata, bukan sahaja aspek penjagaan dan pemakanan, King Oyen turut dibelikan 'baju raya' sempena Aidilfitri minggu lalu.

"Setiap tahun ada baju raya untuk King Oyen. Tahun ini kami siapkan tiga pasang baju Melayu, selain persalinan lain sehingga raya kelima, lengkap dengan cermin mata serta songkok sedondon dengan warna baju. Kami belanja kira-kira RM400 untuk baju raya King Oyen," katanya.

Ditanya bagaimana membiasakan kucing berkenaan mengenakan pakaian, katanya, King Oyen adalah kucing yang mendengar kata dan patuh arahan.

"King Oyen jenis kucing baik dan mendengar kata, juga faham apa saya cakap. Kalau saya cakap tak boleh, dia takkan buat. King Oyen jenis layan saja dan tidak kisah apa yang kami pakaikan," katanya.

Bagi Nurmayani Asmuni, 25, dari Shah Alam, tahun ini kali pertama kucing peliharaannya 'Lion King' mengenakan baju raya.

"Baju raya baru kali pertama, tetapi setiap bulan, saya memang beli baju untuk ia pakai. Lion King sudah biasa pakai baju sebab itu tidak kekok berbusana raya berserta tanjak. Set yang dipakai hari ini berharga lebih RM100 untuk dua baju Melayu, sampin, songkok, tanjak," katanya.

Antara kucing dengan pakaian raya dibawa ke Majlis Rumah Terbuka Si Miow Beraya anjuran Kelab Kucing Malaysia di Plaza Shah Alam, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR
Antara kucing dengan pakaian raya dibawa ke Majlis Rumah Terbuka Si Miow Beraya anjuran Kelab Kucing Malaysia di Plaza Shah Alam, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR

Presiden kelab Khalid Rashid berkata, majlis berkenaan bagi menghargai dan meraikan pengamal media yang banyak membantu menyiarkan berita positif berkenaan haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu.

"Hari ini kita ada 10 kucing berbusana baju raya," katanya.

Pada majlis itu juga, katanya, pihaknya menyerahkan kerusi roda elektrik pemberian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bersama pihak kelab dan Persatuan Asas kepada bekas wartawan, Fauziah Samad.

Majlis Rumah Terbuka Si Miow Beraya anjuran Kelab Kucing Malaysia di Plaza Shah Alam, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR
Majlis Rumah Terbuka Si Miow Beraya anjuran Kelab Kucing Malaysia di Plaza Shah Alam, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR

Berita Harian X