Rabu, 11 Mei 2022 | 7:55pm
Keadaan Sungai Ngulang yang airnya sebelum ini dilaporkan bertukar kehitaman berikutan pencemaran yang menyebabkan ratusan ikan mati. - BERNAMA
Keadaan Sungai Ngulang yang airnya sebelum ini dilaporkan bertukar kehitaman berikutan pencemaran yang menyebabkan ratusan ikan mati. - BERNAMA

Kilang diarah henti operasi susulan pencemaran Sungai Ngulang

PADANG BESAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis bertindak menghentikan operasi sebuah kilang susulan pencemaran Sungai Ngulang di sini, yang menyebabkan ratusan ikan ditemukan mati terapung, baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohamad Fitri Said berkata, kertas siasatan turut dibuka untuk tindakan lanjut dan meminta pihak industri supaya sentiasa mematuhi langkah kawalan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi menjaga kelestarian alam dan sungai di negeri ini.

"Kita sudah ambil tindakan penahanan operasi (kilang) berhampiran kawasan itu," katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden pencemaran di Sungai Ngulang itu.

Beliau berkata, sekiranya pihak kilang didapati melanggar AKAS 1974, tindakan boleh diambil yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 dan penjara hingga lima tahun.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail pula berkata, pencemaran di sungai itu adalah insiden berulang dan dipercayai disebabkan pelepasan efluen (sisa buangan cecair) dari kawasan perindustrian berhampiran.

Sehubungan itu, beliau meminta JAS bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat memainkan peranan bagi mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu pencemaran sungai dan memastikan Indeks Kualiti Air (WQI) berada dalam kategori kelas satu.

"Kita tidak menghalang operasi kilang industri, namun pihak terlibat seharusnya mematuhi kriteria ditetapkan oleh pihak berkuasa agar pelepasan efluen lebih terkawal dalam memelihara sungai di negeri ini," katanya.

Peniaga kedai makan di Kampung Ngulang, Norma Said, 60, berharap isu pencemaran sungai dapat diselesaikan segera kerana orang ramai semakin bimbang terhadap pencemaran yang berlaku di kawasan tumpuan aktiviti memancing itu.

"Sewaktu pencemaran, air sungai ini bertukar kehitaman dan tidak jenih seperti kebiasaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X