Rabu, 11 Mei 2022 | 7:49pm
Mohd Zuki (kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Sollehuddin Alyubi. - Foto FB
Mohd Zuki (kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Sollehuddin Alyubi. - Foto FB

Sollehuddin Alyubi dilantik Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Sollehuddin Alyubi, 49, sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM baharu itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, pelantikan Sollehuddin Alyubi adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang, antaranya pengurusan kewangan dan pembangunan sumber manusia, termasuk pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.

Sollehuddin Alyubi telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun, bermula sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 September 1997.

"Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki, Sollehuddin Alyubi dapat memperkasa dan memperkukuhkan JPM dalam memberi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan," katanya.

Sollehuddin Alyubi berkelulusan ljazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya (UM). - BERNAMA

Berita Harian X