Rabu, 11 Mei 2022 | 4:38pm
Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjaranya kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai dikenali sebagai basikal lajak. - Foto fail NSTP
Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjaranya kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai dikenali sebagai basikal lajak. - Foto fail NSTP

28 Jun pengurusan kes rayuan kerani kes basikal lajak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kesSam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjaranya kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai dikenali sebagai basikal lajak.

Tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Peguam Harvinderjit Singh dan Faizal Mokhtar yang mewakili Ke Ting menghadiri prosiding pengurusan kes itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee hadir bagi pihak pendakwaan.

Ketika dihubungi, Harvinderjit Singh berkata timbalan pendaftar menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya untuk mendapatkan rekod rayuan dan bagi membolehkan rekod rayuan itu diserahkan kepada pihak-pihak dalam kes itu.

Beliau berkata dia juga memaklumkan kepada Mohd Khairi bahawa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram telah dilantik sebagai peguam utama dan beliau (Harvinderjit) sebagai peguam bersama untuk mewakili Ke Ting dalam rayuannya.

Harvinderjit Singh berkata, pihak pendakwaan juga mengesahkan mereka telah menerima notis rayuan yang difailkan kerani itu.

Pihak pembelaan memaklumkan kepada timbalan pendaftar mereka mahukan rekod rayuan, nota prosiding dan hujahan untuk rayuan terdahulu pada 2019 oleh pihak pendakwaan dimasukkan ke dalam rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan.

"Ini kerana isu kes prima facie juga akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan. Mahkamah memerintahkan supaya surat ditulis kepada Mahkamah Tinggi Johor Baharu untuk memohon perkara yang sama," katanya.

Pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Ke Ting tanpa mengarahkannya membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang terbunuh dalam insiden itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan Sam untuk membela diri atas tuduhan memandu secara melulu.

Majistret Siti Hajar Ali, yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Ke Ting di akhir kes pembelaan menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua di Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkan Ke Ting atas pertuduhan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Ke Ting mendapat kebenaran untuk merayu daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu terhadap sabitan dan hukuman penjaranya.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Ke Ting untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya. – BERNAMA

Berita Harian X