Rabu, 11 Mei 2022 | 3:02pm
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. - NSTP/ARKIB
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. - NSTP/ARKIB

'PN kita mahu, MN pun kita mahu' - Sanusi

ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan partinya tidak mempunyai sebarang masalah meneruskan kerjasama politik dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

Menteri Besar Kedah berkata, parti itu masih berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura, iaitu memperkukuhkan MN dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) demi memperkukuhkan politik umat Islam dan Melayu di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan, pihak yang cuba mengganggu-gugat gagasan berkenaan memberhentikan perbuatan mereka kerana ia akan hanya menyebabkan usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu di negara ini terjejas.

"PAS tidak ada masalah (bekerjasama) dengan UMNO. Jika UMNO ada masalah, mereka perlu selesaikan kerana PAS tidak ada masalah. Kita masih berpegang kepada keputusan dibuat kepimpinan dan Majlis Syura, kita konsisten dan tidak ada perubahan di mana PN kita mahu, MN pun kita mahu.

"Matlamat PN dan MN adalah penyatuan ummah, memperkukuh politik Melayu dan menyatupadukan ummah dalam keadaan umat Islam berdepan cabaran di seluruh dunia yang datang dari pelbagai penjuru. 'Ubat' kepada isu ini adalah memperkukuh perpaduan dan kerjasama umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi bayangan mustahil MN diteruskan jika PAS terus memperlihatkan sikap 'talam dua muka'.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata UMNO mahu rakan yang setia dalam MN, bukan sahaja berdasarkan daripada kenyataan dikeluarkan, tetapi melalui tindakan dan keputusan yang dibuat parti terbabit.

Muhammad Sanusi berkata, dari segi politik, PN dan MN dilihat mampu memperkukuhkan perpaduan umat Islam dan Melayu di negara ini kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan sama.

"Apapun alasan diberikan pihak lain untuk menolak gagasan ini, PAS tetap mahu mengajak mengukuhkan perpaduan umat Islam kerana kuasa politik Melayu perlu dominan berdasarkan komposisi kaum dan sejarah latar belakang negara ini.

"Perkara lain yang mengganggu-gugat usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu perlu diketepikan semua pihak. Ketepikanlah kepentingan diri, peribadi, kelompok dan mazhab kerana kita perlu memperkukuhkan kuasa politik," katanya.

Berita Harian X