Rabu, 11 Mei 2022 | 12:07pm
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa buah kampung dalam kawasan Janda Baik, dilanda banjir kilat. - Foto Ihsan Pembaca.
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa buah kampung dalam kawasan Janda Baik, dilanda banjir kilat. - Foto Ihsan Pembaca.

Janda Baik berlumpur tebal akibat banjir

BENTONG: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kampung sekitar kawasan Janda Baik di sini, dilanda banjir kilat.

Antara kampung terjejas teruk dalam kejadian jam 5.30 pagi itu termasuklah Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh, yang menyebabkan 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.37 pagi sebelum 19 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jarak antara lokasi kejadian pertama iaitu Kampung Sum Sum dengan balai terdekat ialah 39 kilometer menyebabkan bomba mengambil masa untuk tiba berikutan keadaan laluan sempit.

Kerja memindahkan semua mangsa dapat dilakukan dalam masa singkat tetapi bomba masih di lokasi memantau situasi memandangkan keadaan cuaca masih kurang baik.

"Setakat ini, ada perkampungan utama iaitu Kampung Sum Sum dengan 12 keluarga sudah berpindah termasuk tiga keluarga diselamatkan anggota bertugas.

"Sementara seramai 30 keluarga di Kampung Chemperoh berpindah sendiri sejurus kawasan itu dinaiki air awal pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) memindahkan 12 keluarga yang terbabit dalam kejadian awal pagi tadi.

Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa buah kampung dalam kawasan Janda Baik, dilanda banjir kilat. - Foto Ihsan Pembaca.
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa buah kampung dalam kawasan Janda Baik, dilanda banjir kilat. - Foto Ihsan Pembaca.

Kejadian tanah runtuh turut berlaku di laluan masuk ke Kampung Janda Baik dan laluan antara Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperoh.

Selain itu, berlaku juga kejadian pokok tumbang di jalan masuk ke lokasi menyukarkan operasi menyelamat kerana anggota pasukan itu perlu memotong batang kayu yang menghalang laluan.

"Susulan kejadian tanah runtuh di jalan masuk ke Janda Baik dan antara Kampung Sum Sum ke Kampung Chemperoh, laluan itu terpaksa ditutup bagi kerja pembersihan batu dan lumpur.

"Operasi pemantauan di sekitar empat buah kampung di Janda Baik diteruskan dan laluan itu sudah ditutup kepada pengguna bagi memudahkan kerja pembersihan lumpur dan serpihan batu," katanya.

Sebuah jentera JBPM Pahang turut terkandas akibat lumpur tebal ketika dalam perjalanan menghala ke Kampung Chemperoh bagi tugas memindahkan penduduk terjejas akibat banjir kilat itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman, menerusi ciapan Twitter, turut berkongsi kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan.

Katanya, beliau menerima maklumat kejadian sekitar jam 5.30 pagi tadi, sebelum bergegas ke lokasi bagi meninjau sendiri kesan banjir kilat itu dan meminta pandangan orang ramai mengenai penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi masalah terbabit daripada terus berulang.

Berita Harian X