Selasa, 10 Mei 2022 | 11:03pm
Foto hiasan - NSTP/ASWADI ALIAS.
Foto hiasan - NSTP/ASWADI ALIAS.

UMNO akan kemuka tarikh pemilihan parti kepada ROS

KUALA LUMPUR: UMNO akan mengemukakan cadangan tarikh mengadakan pemilihan parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), 17 Mei ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata cadangan tarikh pemilihan parti akan dikemuka selepas UMNO selesai mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khasnya, Ahad ini.

"ROS ada menulis surat kepada kami bertanya bila pemiliha parti akan diadakan.

"Saya sudah jawab akan memaklumkan kepada ROS pada 17 Mei ini kerana pada 15 Mei kita menjangkakan keputusan ialah menerima pindaan (perlembagaan UMNO) itu," katanya dalam program wawancara disiarkan menerusi Facebook Live malam ini.

Katanya, pasukan peguam UMNO akan membantu menyiapkan segala dokumen diperlukan termasuk berkaitan keputusan PAU Khas Ahad ini, untuk dikemukakan kepada ROS.

"Kita maklum 16 Mei ini adalah cuti umum Hari Wesak. Kalau tak 16 Mei kita beritahu ROS (tarikh pemilihan parti)," katanya.

Ahmad Maslan sebelum ini menjelaskan, usul meminda Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dijangka diluluskan dengan mudah pada PAU Khas, Ahad ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata ia berikutan usul yang dicadangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi PAU pada Mac lalu disokong sebulat suara oleh perwakilan yang hadir.

Katanya, UMNO tidak menjangkakan masalah mendapat kelulusan ROS memandangkan ia pernah meluluskan permohonan sama oleh MCA.

"Kalau kita lihat MCA sudah buat benda sama, ini bukan perkara baharu. Ini bukan kali pertama permohonan ini dibuat mana-mana parti. Permohonan pindaan perlembagaan yang seperti itu sudah diluluskan untuk MCA pada 2021.

"Jadi tidak perlu ROS menunggu lama untuk UMNO, sebab dia boleh merujuk apa yang mereka sudah luluskan kepada MCA.

Tapi kita memahami, kita perlu juga menunggu kelulusan ROS," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa MKT ketika ini tidak boleh berfungsi dengan sempurna termasuk untuk memanggil PAU Khas memandangkan UMNO kini berada dalam tempoh 18 bulan penangguhan parti.

"Tidak ada dalam perlembagaan UMNO peruntukan melanjutkan 18 bulan (pemilihan parti) tidak boleh buat pindaan perlembagaan, tidak ada.

"Dalam tempoh 18 bulan ini, kita berfungsi sebagai parti yang sah termasuk penjawatnya dan boleh melakukan apa saja yang sesuai untuk parti," katanya turut menjelaskan pindaan itu akan memberi pilihan kepada UMNO membuat pemilihan parti iaitu dalam tempoh lanjutan 18 bulan atau enam bulan selepas PRU.

Ahmad Maslan berkata, kira-kira 2,400 perwakilan dari 2,600 perwakilan yang layak sudah mengesahkan kehadiran Ahad ini, sekali gus melepasi syarat kehadiran dua pertiga perwakilan dalam PAU Khas.

Berita Harian X