Selasa, 10 Mei 2022 | 10:41pm
Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia

Pemberian lesen bank digital tidak tunjuk kesungguhan kerajaan - MTEM

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berpandangan pemberian lima lesen bank digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tidak membayangkan kesungguhan kerajaan dalam menangani kemelut sosioekonomi negara yang semakin meruncing.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin, berkata kebimbangan itu berasas memandangkan tiada perbezaan jelas antara pembida milik penuh tempatan dengan pembida asing atau antara pembida lesen digital bank konvensional dengan pembida lesen digital bank Islam walaupun dinilai mengikut kriteria akta perkhidmatan kewangan yang berbeza.

Katanya, BNM juga tidak seharusnya terlalu taksub menilai kelayakan dan kemampuan kewangan pembida semata-mata sehingga terlupa isu sebenar yang menghantui negara ini sekian lama.

"Pemberian lesen oleh BNM ini sepatutnya dilihat dapat menaik taraf tahap sosioekonomi warganegara, khususnya golongan rentan, Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).

"Melalui Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030) pula, agenda untuk mengurangkan jurang kekayaan antara kaum melalui pemilikan efektif Bumiputera dalam sektor perbankan atau kewangan telah diangkat dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

"Ini sepatutnya menjadi peluang bank Bumiputera yang lebih baik dengan penggunaan teknologi penilaian kredit yang lebih hebat melalui teknologi terkini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

BNM mengumumkan, pemberian lima lesen bank digital yang pertama seumpamanya di negara ini dengan dua daripada lesen itu tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) diberikan kepada Konsortium AEON Financial Service Co Ltd - AEON Credit Service (M) Berhad-Money Lion Inc, manakala bakinya kepada sebuah konsortium yang diketuai KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Beliau berkata, MTEM khuatir jika pemegang lesen itu terpaksa memberi perkhidmatan kepada peminjam berisiko besar dan mengenakan kadar faedah lebih tinggi atau lebih buruk lagi menawarkan produk mereka kepada pelanggan sedia ada yang lebih selamat dan menguntungkan.

"Seharusnya bukan modal menjadi kriteria utama, tetapi model perbankan dan teknologi yang digunakan perlu diberi keutamaan, seperti perbankan alternatif antaranya perbankan waqaf, koperasi dan perbankan yang bukan berteraskan riba atau tawarruq.

"Pemberian lesen kepada konsortium atau kepada syarikat gergasi asing nampaknya seperti mahu terus mengikut acuan bank kapitalis atau cenderung mengikut model bank digital negara seperti Hong Kong dan Singapura yang sudah tentu tidak sama dengan matlamat serta kehendak kita di sini.

"Pada masa sama, MTEM bimbang dengan kadar keberhutangan individu dan negara yang terlalu tinggi, tetapi lebih gusar melihat kecenderungan kerajaan untuk menggalakkan rakyat berhutang dan bukan sebaliknya," katanya.

Katanya, instrumen wakaf antara kaedah penyelesaian lestari tetapi jarang diaplikasikan sedangkan kaedah itu amat serasi dengan keperluan Bumiputera Muslim dan negara.

"Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif dan pelopor kepada sistem kewangan Islam patuh syariah yang dihormati dunia berada pada kedudukan terbaik untuk memacu sistem wakaf ke peringkat yang lebih tinggi dan kita ada pakar-pakar khusus untuk menyediakan kriteria pembangunannya.

"Justeru, MTEM menggesa kerajaan membuktikan ketegasan dalam melaksanakan agenda Bumiputera yang diperakui perlembagaan negara sebagai agenda nasional.

"Kami juga ingin menyarankan agar BNM tidak terus menutup pintu dalam pemberian lesen perbankan digitalnya bagi melihat instrumen perkhidmatan kewangan yang lebih segar yang mampu menangani permasalahan sosioekonomi, pada masa sama tidak mendedahkan negara dan rakyat kepada risiko kredit dan bebanan hutang melampau," katanya.

Berita Harian X