Selasa, 10 Mei 2022 | 6:36pm
Penyelidik UPM, Dr Mohammad Effendy Ya’acob (kiri) bersama Naib Censelor UPM, Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (tengah) dan Ketua Setiausaha (sektor tenaga) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (keTSA) Mohamad Razif Abdul Mubin (kanan) melawat Projek Agrivoltaic solarfarm menempatkan 25,000 unit herba berpotensi tinggi Misai Kucing di Ladang Solar Universiti Putra Malaysia, Puchong. STR/AMIRUDIN SAHIB
Penyelidik UPM, Dr Mohammad Effendy Ya’acob (kiri) bersama Naib Censelor UPM, Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (tengah) dan Ketua Setiausaha (sektor tenaga) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (keTSA) Mohamad Razif Abdul Mubin (kanan) melawat Projek Agrivoltaic solarfarm menempatkan 25,000 unit herba berpotensi tinggi Misai Kucing di Ladang Solar Universiti Putra Malaysia, Puchong. STR/AMIRUDIN SAHIB

Projek Agrivoltaic UPM cipta rekod

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melakar rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBR) menerusi sistem agrivoltaic herba terbesar untuk mekanisme penyejukan semula jadi.

Pengarah Projek Agrivoltaic, Dr Mohammad Effendy Ya'acob, berkata projek Agrivoltaic UPM menempatkan 25,000 unit herba berpotensi tinggi Misai Kucing yang ditanam secara terus bawah dua hektar bersaiz panel solar PV.

Teknologi Solar Photovoltaic (PV) adalah teknologi paling pesat berkembang di dunia di bawah skop tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, projek Agrivoltaic membantu industri tenaga solar untuk penyelenggaraan dan membantu menyediakan tanah pertanian.

"Malaysia mengalami isu tanah, di mana banyak tanah ditukar taraf daripada tanah pertanian kepada tanah pembangunan dan jika dapat utiliti di ladang solar, ia akan membantu mengurangkan isu penggunaan tanah pembangunan yang banyak.

"Projek Agrivoltaic UPM bukanlah yang pertama di dunia tetapi ia terbesar di dunia yang boleh membantu industri solar dan industri pertanian," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil MBR Agrivoltaic UPM, semalam.

Naib Canselor UPM, Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman mengucapkan syabas kepada Dr Mohammad Effendy selaku Pengarah Projek serta pihak pengurusan Fakulti Kejuruteraan UPM kerana memberikan komitmen yang amat baik dalam merealisasikan projek itu.

Katanya, penyelidikan itu memfokuskan kepada mengoptimumkan penggunaan ruang dan membantu menyejuk panel bagi meningkatkan keberkesanan janaan tenaga ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Projek ini bakal mempamerkan satu-satunya integrasi pertanian strategik dalam projek solar PV berskala besar. Ia selari dengan hala tuju kampus Hijau UPM dan memperkukuhkan ranking UI Green Metriks dalam kalangan universiti di seluruh dunia.

"Saya sarankan kepada penyelidik bukan hanya tumpukan pada tanaman herba Misai Kucing, malah turut menumpukan tanaman herba lain pada masa akan datang," katanya.

MBR ialah sebuah badan yang mengiktiraf pencipta, pemegang dan pemecah rekod di dalam negara.

Berita Harian X