Selasa, 10 Mei 2022 | 11:44am

JKNNS siasat dakwaan 2 doktor pelatih kena buli

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) sudah diarah menyiasat laporan mendakwa doktor pelatih dibuli di dua hospital di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pihaknya menerima aduan berkenaan pada Mac dan April lalu berkaitan kes berkenaan.

"Terdapat dua laporan diterima berhubung kes doktor pelatih dibuli. Seorang doktor berkenaan memberitahu menerima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana mengalami tekanan emosi.

"Seorang lagi mendakwa doktor mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan ada isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, siasatan akan dibuat JKNNS bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen buli terhadap kedua-dua doktor pelatih terbabit.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana mengajar atau melatih bukan lesen untuk membuli, sebaliknya setiap doktor perlu bersikap dan menjalankan tugas secara profesional.

"Mana-mana doktor pelatih yang berasakan mereka menjadi mangsa buli diminta membuat aduan kepada pihak sepatutnya supaya siasatan lanjut boleh dilakukan," katanya.

Berita Harian X