Isnin, 9 Mei 2022 | 6:03pm
Kerja-kerja pembinaan tiang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang giat dilakukan di Kampung Padang Lengkuas, Padang Pisang ketika tinjauan BERNAMA, baru-baru ini. Foto BERNAMA
Kerja-kerja pembinaan tiang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang giat dilakukan di Kampung Padang Lengkuas, Padang Pisang ketika tinjauan BERNAMA, baru-baru ini. Foto BERNAMA

ECRL: Era baharu pengangkutan awam di Kelantan

KOTA BHARU: Kira-kira empat tahun lagi, penduduk di Pantai Timur termasuk di Kelantan bakal memiliki pengangkutan awam berkelas dunia apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap pada Disember 2026.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) merangkumi pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Pengurus Pembinaan Wilayah Malaysia Rail Link (MRL) Seksyen 1, 2 & 3, Wan Adnan Wan Mat, berkata ketika ini kerja-kerja pembinaan projek ECRL di Kelantan mencapai kemajuan infrastruktur sebanyak 21.58 peratus setakat Mac lalu.

"Di Kelantan, jajaran ECRL membabitkan 43.86 km projek berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan, kemajuan kerja-kerja insfrastruktur sudah mencapai 21.58 peratus.

"Alhamdulillah, pelaksanaan projek ECRL di Kelantan mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri serta agensi kerajaan lain yang banyak membantu kami," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BERNAMA dan RTM, baru-baru ini.

Wan Adnan berkata, di Kelantan kerja-kerja infrastruktur projek ECRL turut membabitkan pembinaan 26 jambatan iaitu 13 buah merentasi jalan raya manakala bakinya merentasi sungai.

"Di Kelantan reka bentuk projek ini serta laluan rel turut mengambil kira tahap '100-year flood', sebagai contoh semasa banjir pada tahun lepas tidak ada kesan buruk kepada pelaksanaan projek di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, selain menyediakan pengangkutan awam berkelas dunia, ECRL turut menyediakan peluang pekerjaan menerusi 50 peratus tenaga kerja tempatan, sekali gus menghampiri sasaran 70 peratus yang ditetapkan.

Untuk rekod, Kelantan bakal mempunyai dua stesen ECRL iaitu stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu serta stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh.

Perkhidmatan ECRL yang dijangka beroperasi pada Jan 2027 boleh menampung 5.6 juta penumpang setiap tahun, manakala setiap perjalanan mampu memuatkan seramai 440 penumpang membabitkan enam gerabak.

Malah, tempoh perjalanan menggunakan ECRL dari Kota Bharu ke Lembah Klang dijangka mengambil masa hanya empat jam.– BERNAMA

Berita Harian X