Isnin, 9 Mei 2022 | 1:41pm
Dana tambahan diluluskan MOSTI bagi membiayai projek pengawasan genomik virus SARS-CoV-2 dapat memperkukuh ekosistem sokongan pembiayaan R&D penularan wabak COVID-19 di negara ini. - Foto hiasan NSTP
Dana tambahan diluluskan MOSTI bagi membiayai projek pengawasan genomik virus SARS-CoV-2 dapat memperkukuh ekosistem sokongan pembiayaan R&D penularan wabak COVID-19 di negara ini. - Foto hiasan NSTP

MOSTI lulus dana tambahan biayai program pengawasan genomik

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan dana tambahan sebanyak RM15 juta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membiayai projek pengawasan genomik (genomik surveillance) bagi virus SARS-CoV-2 di 11 konsortium makmal.

Kelulusan itu sekali gus dapat memperkukuh ekosistem sokongan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) susulan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

MOSTI dalam kenyataan memaklumkan, projek berkenaan kini sudah memasuki Fasa 3 dan fasa berkenaan amat penting untuk mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia terutamanya varian membimbangkan (VOC) seperti Omicron dan Delta.

Mengulas mengenai situasi VOC, sehingga 27 April lalu, sebanyak 15,565 sampel sudah dijujuk, dianalis dan maklumat berkaitan genom itu sudah dimuatnaik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID).

"Taburan varian utama virus SARS-CoV-2 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 sampel atau 46.55 peratus dikenal pasti sebagai varian Delta; Omicron (6,374 sampel), Beta (283 sampel) dan Alpha (33 sampel).

"Sampel berkenaan dipilih oleh KKM dan membabitkan semua negeri. Analisis garis-masa pola perubahan varian di Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah varian Delta dan Omicron masing- masing bermula sekitar bulan Ogos dan Disember lalu.

"Varian Delta dan Omicron ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi dan mampu menjangkiti kepada individu yang lengkap dua dos vaksinasi serta dos penggalak.

"Mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian Delta dan Omicron, justeru vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian berkenaan," katanya.

Tambahnya, bagi varian Omicron, pola garis-masa perubahan sub-varian Omicron di Malaysia adalah dari November lalu hingga April ini menunjukkan 3,010 sampel adalah sub-varian Omicron BA.2.

"Selain itu sebanyak 1,989 sampel adalah sub-varian BA.1.1 dan 694 sampel sub-varian BA.1. Pola berkenaan menunjukkan 'lineage' BA.1 dan BA.1.1 mendominasi pada ketika awal kemunculan Omicron pada akhir tahun 2021, tetapi ianya mula beralih ke lineage BA.2 seawal Januari 2022.

"Hampir kesemua atau lebih 99 peratus sampel yang dijujuk dalam bulan Mac dan April lalu adalah daripada lineage BA.2 dan sub-lineage-nya.

"Maklumat berkenaan genom varian virus SARS-CoV-2 adalah amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian-varian berkaitan," katanya.

Menurut MOSTI, apabila virus SARS-CoV-2 bermutasi, varian baharu yang muncul mungkin mempunyai keupayaan yang berbeza termasuk dari segi kebolehjangkitan, keterukan gejala, ketepatan ujian diagnostik dan keberkesanan vaksin dan terapeutik.

"Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa varian Omicron pada masa ini mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi tetapi dengan gejala yang kurang teruk berbanding dengan varian Delta.

"Ini disebabkan oleh mutasi yang menyebabkan perubahan dalam mekanisme virus itu untuk menjangkiti sel manusia.

"Kadar pengawasan genom iaitu kadar genom yang dijujuk per jumlah kes positif yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah antara lima hingga 20 peratus.

"Ia berdasarkan pengiraan pada tahap keyakinan 95 peratus untuk dapat mengesan varian yang beredar dalam populasi sesebuah negara, terutamanya pada peringkat awal peredaran.

"Jelas sekali, pengesanan varian yang baru muncul memerlukan sampel yang lebih besar dan kadar pengawasan genom yang lebih tinggi berbanding pengesanan varian yang sudah merebak dengan meluas.

"Oleh itu, kadar pengawasan genom ini secara langsung berkait dengan keupayaan pengesanan awal VOC baharu dan pengawalan kluster baharu.

"Pada masa ini, kadar pengawasan genom bagi negara kita masih kurang daripada satu peratus bagaimanapun, Fasa 3 ini adalah sebahagian dari usaha positif bagi mencapai sekurang-kurangnya satu peratus seperti yang disasarkan oleh kerajaan," katanya.

Berita Harian X