Ahad, 8 Mei 2022 | 12:15pm

'Dakwaan bekas doktor pelatih cuba bunuh diri di Kelantan kes lama'

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK) mengesahkan kes membabitkan seorang bekas doktor pelatih yang didakwa cuba membunuh diri berlaku pada 2019 dan ditularkan semula di media sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kes berkenaan ditutup disebabkan dakwaan itu tidak dapat dibuktikan dengan jelas dan kes dianggap selesai.

Katanya, pihaknya menerima satu status yang tular di media sosial yang mendakwa dibuli namun dalam hantaran itu tidak dinyatakan siapa yang menulisnya menyebabkan agak sukar untuk mengenal pasti kes membabitkan doktor siswazah berkenaan.

"Sekiranya ada laporan yang lebih khusus diterima mengenai kes-kes seumpama ini, pihak kami sentiasa membuat penyiasatan bagi memastikan mereka mendapat pembelaan yang sepatutnya sekiranya ia berlaku.

"Di peringkat hospital, kami sentiasa mengadakan perjumpaan secara berkala dengan doktor pelatih sebulan sekali atau kadang-kadang tiga bulan sekali untuk mendengar masalah mereka.

"Pada masa sama, JKNK dan jabatan-jabatan yang melatih mereka sentiasa ingin membantu bagi memastikan mereka menjadi pegawai perubatan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Asma Sedunia Peringkat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Pelancaran Klinik Asma Teruk di Dewan HRPZII, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, menerusi perkongsian di laman Twitter, bekas doktor pelatih itu mendedahkan kes buli secara emosi itu bermula selepas dua minggu ditempatkan di jabatan berkenaan.

Melalui perkongsian berkenaan, bekas doktor pelatih berkenaan mendakwa dia dibuli secara emosi selepas dua minggu ditempatkan di Jabatan Pembedahan di sebuah hospital kerajaan di Pantai Timur.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, bagi membantu doktor pelatih mengatasi tekanan yang dialami, pihaknya juga mempunyai unit-unit kaunseling yang boleh mereka datang untuk mendapatkan bantuan sekiranya mempunyai masalah.

"Dalam isu ini, saya cuma berharap sekiranya mereka mempunyai masalah kerana ada unit kaunseling selain pakar kita juga membantu dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

"Hasrat kita yang utamanya adalah untuk melatih mereka menjadi doktor yang terbaik kerana bukan setakat menjadi pegawai perubatan tetapi lebih daripada itu kerana mereka adalah pelapis dan pakar yang ada di negara kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku sedikit peningkatan kes COVID-19 yang mungkin berada pada tahap satu dan dua.

"Bagaimanapun, dalam tempoh sebulan dua ini, berlaku penurunan kes harian COVID-19 iaitu hanya sekitar dua digit selain kes yang teruk dan kemasukan di hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) juga berkurangan.

"Namun kita masih lagi mengekalkan bilangan katil untuk pesakit COVID-19 iaitu sekitar 300 katil di seluruh negeri dan 30 katil di ICU bagi merawat pesakit yang dijangkiti," katanya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin (kanan) melawat pameran selepas merasmikan sambutan Hari Asma Sedunia Peringkat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Pelancaran Klinik Asma Teruk di Dewan HRPZII, di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin (kanan) melawat pameran selepas merasmikan sambutan Hari Asma Sedunia Peringkat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Pelancaran Klinik Asma Teruk di Dewan HRPZII, di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X