Ahad, 8 Mei 2022 | 9:35am

Polis kawal tiga pintu masuk utama ibu negara

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menempatkan anggotanya untuk membantu penyuraian trafik di tiga pintu masuk ke ibu negara dari arah Pantai Timur, selatan dan utara tanah air.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, penempatan itu bagi memastikan trafik terkawal berikutan warga kota kembali ke ibu negara selepas cuti Aidilfitri.

Katanya, pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam menerima pertambahan mendadak kenderaan dan menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati.

"Jangan membuat kesalahan yang boleh membahayakan nyawa kepada kita sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Perancangan JSPT KL, kami meletakkan pasukan untuk membantu mereka yang pulang dari kampung masuk ke pusat bandar dan kembali ke rumah masing-masing dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media awal pagi tadi selepas mengetuai Op Utama sempena Op Selamat 18 di ibu negara.

Dalam operasi berakhir jam 3 pagi itu, lima sekatan jalan raya dilaksanakan di Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Jalan Genting Klang, Jalan Duta Kiara dan Jalan Klang Lama.

Sarifudin berkata, 13 pegawai dan 85 anggota terbabit dalam operasi itu yang mengesan pelbagai kesalahan jalan raya.

"Dua kesalahan utama yang dikesan adalah bunyi ekzos (diubah suai) dan nombor plat 'fancy'," katanya turut memberitahu seorang penunggang motosikal 45 tahun ditahan di Jalan Loke Yew dipercayai memiliki dadah jenis heroin.

Lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak mempunyai lesen memandu dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

ALIRAN trafik dari utara menghala selatan sesak ketika tinjauan di Plaza Tol Ipoh Selatan, semalam. - NSTP/L MANIMARAN
ALIRAN trafik dari utara menghala selatan sesak ketika tinjauan di Plaza Tol Ipoh Selatan, semalam. - NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X