Sabtu, 7 Mei 2022 | 9:21pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bersama ibu, Taiyibah Rusli.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bersama ibu, Taiyibah Rusli.

'Ambil peluang pulang ke kampung bertemu ibu'

KUALA LUMPUR: Sempena Hari Ibu yang akan disambut esok dalam suasana Aidilfitri, Datuk Seri Rina Harun menitipkan nasihat buat semua supaya mengambil peluang pulang ke kampung bertemu ibu bapa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kepulangan anak di perantauan amat dinantikan terutama ibu.

"Alhamdulillah pada tahun ini, kita meraikan sambutan Hari Ibu yang bertemakan Kasih Ibu Selamanya di dalam bulan Syawal dan masih di dalam mood berhari raya.

"Kepada anak-anak, ambillah peluang pulang ke kampung berjumpa ibu bapa. Saya percaya kepulangan anda wahai anak-anak sangat dinantikan oleh insan bergelar ibu ini.

"Tiada batas waktu untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu, namun marilah kita menyantuni mereka melalui sambutan Hari Ibu. Kita raikan ibu tercinta sebagai tanda kasih sayang kepada semua ibu di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh peranan kaum hawa, Rina berkata fungsi wanita hari ini tidak terhad kepada tugas hakiki iaitu di dalam rumah semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata peranan wanita umpama berdiri sama tinggi, duduk sama rendah kerana mampu bergerak seiring bersama golongan lelaki dalam segenap bidang, termasuk ekonomi dan sebagainya.

"Namun dalam semua perkara itu, Allah telah menciptakan satu keistimewaan kepada wanita yang tidak terdapat pada seorang lelaki iaitu nikmat melahirkan zuriat.

"Gelaran ibu adalah dambaan setiap wanita. Kasih ibu tiada tolok bandingnya, kedudukan ibu sangat mulia dan ibu tempat bermanja pengubat segala duka.

"Ibu adalah wanita terpenting dalam hidup setiap insan. Tanpa ibu, tiadalah kita di muka Bumi ini," katanya.

Rina sempat menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada ibunya, Taiyibah Rusli termasuk semua wanita yang bergelar ibu.

"Kasih ibu selamanya dan terima kasih ibu. 'I love you always and forever' (saya sayang ibu sentiasa dan selamanya)," katanya.

Berita Harian X