Sabtu, 7 Mei 2022 | 1:16pm
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Usul pindaan perlembagaan UMNO dibentang 14 Mei

PONTIAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membentangkan usul pindaan perlembagaan parti berhubung pemilihan hanya diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas, 14 Mei ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pembentangan usul akan diadakan di hadapan 2,666 perwakilan.

"Satu daripada usul yang dibentangkan pada PAU lalu ialah pemilihan parti perlu diadakan selepas PRU.

"Tempohnya perlu diadakan enam bulan selepas PRU. Saya juga sudah memaklumkan pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai apa yang UMNO lakukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pontian, di Benut, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO , Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu bersempena PAU 2021 pada 17 Mac lalu, mencadangkan supaya perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.

Beliau dilaporkan berkata, pemilihan parti seharusnya diadakan hanya selepas setiap kali PRU bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pada PAU Khas itu nanti akan dilangsungkan juga majlis sambutan ulang tahun UMNO dan sambutan Aidilfitri.

"Majlis akan dimulakan dengan menaikkan bendera sempena hari ulang tahun UMNO, kemudian diikuti ucapan serta amanat Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

"Seterusnya pembentangan usul pindaan Perlembagaan UMNO oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disusuli sambutan Hari UMNO dan sambutan Hari Raya parti," katanya.

Berita Harian X