Jumaat, 6 Mei 2022 | 9:21pm
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Peguam fail saman pemula siasatan terhadap Mohd Nazlan

KUALA LUMPUR: Tiga orang peguam memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain, bagi menuntut perisytiharan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berperlembagaan.

Ketiga-tiga peguam berkenaan ialah Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai, selaku plaintif memfailkan saman pemula itu, di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, agensi terbabit dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Mohd Nazlan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendapati bekas perdana menteri bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

Melalui saman pemula itu, mereka memohon perisytiharan badan siasatan jenayah termasuk defendan kedua (SPRM), tidak berhak atau dihalang daripada menjalankan siasatan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat, kecuali mereka digantung mengikut Perkara 125(5) atau dibuang menurut Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Azam Baki bersama Tan Sri Abu Zahar Datuk Nika Ujang (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah). - Foto hiasan NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Azam Baki bersama Tan Sri Abu Zahar Datuk Nika Ujang (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah). - Foto hiasan NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Mereka juga memohon perisytiharan pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.

Tiga peguam itu dalam satu kenyataan media hari ini, yang dikeluarkan oleh firma guaman Tetuan Malik Imtiaz Sarwar berkata, mereka memohon supaya mahkamah menentukan persoalan Perlembagaan yang penting berhubung pengasingan kuasa dan kebebasan Badan Kehakiman yang timbul akibat siasatan SPRM, terhadap hakim mahkamah rayuan.

Berikutan itu, mereka turut memfailkan permohonan untuk merujuk dua soalan Perlembagaan berhubung relif yang dimohon ke Mahkamah Persekutuan.

Menurut plaintif, mereka berpandangan siasatan ke atas Mohd Nazlan itu satu pelanggaran oleh cabang eksekutif, terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Mereka menegaskan, itu perkara sangat penting yang memberi kesan kepada semua orang di negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap daripada rakyat akses kepada keadilan, ditadbir oleh badan kehakiman yang bebas daripada sebarang campur tangan.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Menurut mereka, Perlembagaan menjamin kesaksamaan undang-undang dan perlindungan undang-undang yang sama kepada setiap orang.

"Kami tidak berpandangan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kebal daripada siasatan jenayah atau pendakwaan.

Seperti kita semua, mereka mesti bertanggungjawab di atas sebarang jenayah yang mungkin mereka lakukan. Bagaimanapun, kuasa untuk menyiasat dan memulakan prosiding jenayah mesti seimbang dengan keperluan untuk memastikan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

"Perlembagaan menyediakan mekanisme untuk memastikan akauntabiliti hakim dengan cara yang tidak menjejaskan keyakinan awam membabitkan aduan secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara. Jika aduan menghendaki seseorang hakim itu dipecat, tribunal yang boleh menentukannya perlu dilantik dan pada masa sama, hakim berkenaan hendaklah digantung tugas.

"Kami percaya kuasa SPRM untuk menyiasat mesti dibaca, tertakluk kepada mekanisme Perlembagaan ini. Pendekatan yang harmoni akan membolehkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman dikekalkan, sambil memastikan hakim itu dipertanggungjawab," kata mereka.

Peguam berkenaan berkata, kerajaan dan Peguam Negara berdiam diri dalam berdepan penegasan oleh SPRM bahawa badan itu berhak untuk menyiasat hakim Mahkamah Rayuan yang sedang berkhidmat, yang menampakkan mereka bersetuju dengan pandangan itu.

Jelas mereka, oleh itu badan kehakiman dibiarkan terkontang-kanting kerana tidak mempunyai kedudukan untuk memohon, bagi mendapatkan perisytiharan bagi pihaknya sendiri.

"Berikutan itu, kami terpaksa dalam keadaan ini bagi memastikan isu Perlembagaan yang penting diputuskan," kata mereka.

Dalam satu kenyataan pada 21 April lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, artikel yang ditulis oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Katanya, ia juga berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan serta mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman.

Berita Harian X