Jumaat, 6 Mei 2022 | 8:24pm

15 kemalangan maut di Perak

IPOH: Sebanyak 1,160 kemalangan jalan raya, termasuk 15 kemalangan maut dilaporkan di negeri ini, sepanjang Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri, bermula sejak 29 April hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Azizan Hassan, berkata jumlah kemalangan maut itu meningkat, berbanding 10 yang direkodkan pada Op Selamat sebelum ini, dengan kematian tertinggi membabitkan penunggang motosikal.

Katanya, antara lokasi yang sering berlaku kemalangan ialah jalan bandaran (344), diikuti jalan Persekutuan (299), lebuh raya (243) dan jalan negeri (166) dan jalan lain (108).

"Daripada 15 kematian yang direkodkan, sembilan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Ini angka yang membimbangkan kita," katanya.

Azizan berkata, sebanyak 9,975 saman dikeluarkan sehingga semalam dengan kesalahan tertinggi memandu melebihi had laju.

"Kesalahan memandu melebihi had laju sebanyak 2,972 dan diikuti oleh kesalahan lain seperti parkir, insurans, mengabai peraturan lalu lintas dan tiada lesen memandu.

"Daerah yang paling banyak yang dikeluarkan saman ialah Ipoh, diikuti Taiping," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 66 saman dikeluarkan dalam operasi hari ini, bermula jam 4 hingga 6 petang.

"Kesalahan tertinggi ialah tidak mematuhi lampu isyarat (35), tiada lesen memandu (9), gagal menunjukkan lesen (6), lesen memandu tamat tempoh (1) dan tidak memakai tali pinggang keledar (6)," katanya.

Jumlah kenderaan meningkat beberapa kali ganda di lebuh raya dari utara menuju Kuala Lumpur, dekat Ipoh, malam ini. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Jumlah kenderaan meningkat beberapa kali ganda di lebuh raya dari utara menuju Kuala Lumpur, dekat Ipoh, malam ini. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X