Jumaat, 6 Mei 2022 | 6:39pm
Kereta api Laluan Rel Pantai Timur. - Gambar hiasan
Kereta api Laluan Rel Pantai Timur. - Gambar hiasan

Kerajaan jamin tambang ECRL berpatutan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan ditetapkan kelak, tidak akan membebankan pengguna.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata dakwaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail tambang ECRL sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding harga tiket penerbangan, bersifat spekulatif dan tidak berasas.

Beliau berkata, perbincangan berhubung perkara itu masih berjalan pada peringkat kerajaan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara, berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di Pantai Barat Semenanjung.

"Seperti yang diketahui, kadar tambang ETS amat berpatutan dan lebih rendah, berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung. Penetapan kadar tambang ECRL berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama, berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna," katanya menerusi di Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan Azan dipetik sebagai berkata, tambang ECRL dijangka mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi dan menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat untuk membayar tambang perkhidmatan projek prasarana pengangkutan itu yang dijangka siap pada penghujung 2026.

Kos projek ECRL sepanjang 665 kilometer membabitkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ka Siong berkata, kerajaan juga tidak berhasrat mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk memperoleh semua kos pembinaan ECRL, memandangkan itu projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.

Katanya, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL, apabila beroperasi pada tahun 2027.

Beliau berkata, tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan kerajaan, sebelum beroperasi selaras dengan keperluan APAD dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa APAD sebagai pengawal selia. – BERNAMA

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Foto fail NSTP
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Foto fail NSTP

Berita Harian X