Jumaat, 6 Mei 2022 | 11:50am
Foto hiasan
Foto hiasan

KKM siasat hepatitis akut dialami kanak-kanak lelaki di Sabah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat sama ada seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Sabah dikesan mengalami gejala hepatitis akut memenuhi kriteria "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya".

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kanak-kanak itu sebelum ini mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sabah pada Mac lalu selepas pesakit mengalami gejala jaundis, demam, kurang selera makan, loya dan muntah.

Beliau berkata, tidak lama kemudian fungsi hepar kanak-kanak itu semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac lalu di sebuah hospital di Lembah Klang.

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak ini tidak mempunyai sejarah penyakit lain selain jangkitan SARS-CoV-2.

"Siasatan masih lagi dijalankan untuk menentukan sama ada kes ini memenuhi kriteria "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya"," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya adalah situasi apabila penyebab lazim hepatitis seperti virus hepatitis A, B, C, D atau E tidak dikesan melalui ujian makmal terhadap sampel pesakit.

Katanya, pada 23 April lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO Event Information Site (EIS) melaporkan kejadian "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya" yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 16 tahun.

Khairy berkata, sehingga 21 April lalu, WHO menerima pelaporan sebanyak 169 kes di 12 negara dengan United Kingdom (UK) melaporkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114.

"Negara lain yang turut melaporkan kes adalah Sepanyol, Israel, Amerika Syarikat (AS), Denmark, Ireland, Itali, Belanda, Perancis, Norway, Belgium dan Romania.

"Setakat ini hanya satu kematian dilaporkan. Selain itu, WHO turut melaporkan bahawa sebanyak 74 kes daripada 169 kes yang dilaporkan dikesan positif Adenovirus dan 20 kes dikesan positif SARS-CoV-2," katanya.

Khairy berkata, penyebab hepatitis akut belum dapat ditentusahkan dan masih dalam siasatan.

Selain itu, beliau berkata, dianggarkan 10 peratus daripada 169 kes yang dilaporkan memerlukan transplantasi hepar.

Sehubungan itu, katanya, KKM sudah mempertingkatkan survelan bagi hepatitis akut di semua klinik kesihatan dan hospital dengan menggunakan definisi kes yang dipersetujui oleh pakar perubatan klinikal dan kesihatan awam, selain sedang membangunkan protokol rujukan dan pengurusan kes "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya."

"Dalam pada itu, pengamal perubatan di klinik kesihatan kerajaan dan swasta diminta untuk merujuk kanak-kanak berusia satu bulan hingga kurang daripada 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan gejala lain hepatitis akut seperti hilang selera makan, loya, muntah, kelesuan atau air kencing berwarna gelap ke Hospital untuk

pengurusan kes selanjutnya.

"Ibu bapa ataupun penjaga kepada kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan hepatitis akut seperti dinyatakan dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

"KKM akan terus memantau situasi kejadian "Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya" dalam kalangan kanak-kanak dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X