Jumaat, 6 Mei 2022 | 11:19am
EXCO Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin
EXCO Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin

Pulau Pinang bincang isu 'penderaan mental doktor pelatih

Kuala Lumpur: Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kesihatan Pulau Pinang akan membincangkan isu berkaitan 'penderaan mental' dihadapi doktor pelatih di negeri itu, sekali gus mencari penyelesaiannya.

EXCO Pertanian, Industri Berteraskan Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, berkata pihaknya antara lain sudah memaklumkan cadangan bagi isu terbabit kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengarah Kesihatan negeri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti memaklumkan, Majlis Mesyuarat Khas Kesihatan negeri mungkin mengadakan pertemuan bersama doktor pelatih, sebelum membincangkan isu terbabit secara terperinci bersama pihak berkaitan.

"Kita akan bincangkan isu ini secara formal untuk mencari penyelesaian dan perubahan yang boleh dilaksanakan. Kita tak mahu ia hanya hangat-hangat tahi ayam atau tampal 'plaster' terhadap isu ini.

"Justeru, setiap perbincangan mengenai perkara ini akan diminitkan dibawah Majlis Mesyuarat Kesihatan negeri yang akan dilampirkan kepada Khairy," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dilapor menggesa Khairy menubuhkan jawatankuasa siasatan khas berhubung kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP), pada 17 April lalu.

Kelmarin, Dr Norlela dilapor menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan negeri (JKN) memberi penjelasan berhubung kematian doktor pelatih yang baru ditempatkan di HPP tiga minggu lalu dan dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat di sini, dengan polis masih menyiasat kejadian itu sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, Dr Norlela mengakui, pihaknya menerima pelbagai pendedahan berhubung isu dihadapi doktor pelatih serta cadangan pembaharuan sistem bagi menyelesaikan perkara terbabit.

"KKM ada ribuan pegawai yang rajin dan jujur berkhidmat dalam menyelamatkan nyawa orang ramai. Saya berharap KKM akan mengubah budaya kerja mereka.

"KKM tidak boleh lagi berselindung. Ini amat mendukacitakan kerana sangat sukar untuk kita menembusi 'halangan' ditetapkan dalam usaha mencari kebenaran, sekali gus menyelesaikan masalah daripada puncanya," katanya.

Berita Harian X