KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun hari ini meraikan sambutan Aidilfitri bersama remaja Sindrom Down, Bella, yang kini ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban.
Rina berkata, remaja berusia 13 tahun itu kelihatan manis dan ceria mengenakan baju bertemakan warna ungu serta gembira menikmati juadah yang dihidangkan.
Beliau berkata, selain menghidangkan makanan seperti nasi himpit, lemang, rendang, ayam goreng, kek dan kuih muih, beliau turut membawa nasi goreng yang dimasaknya sendiri dari rumah, yang menjadi kegemaran Bella.
"Berselera sungguh dia menikmati hidangan yang saya bawa.
"Terima kasih kepada warga kerja pusat pelindungan kanak-kanak ini yang tanpa jemu menjaga dan melindungi kanak-kanak yang ditempatkan di tempat selamat ini setiap hari.
"Alhamdulillah, mereka dijaga dengan baik dan sempurna dari sudut keperluan fizikal dan emosi," katanya di media sosial, hari ini.
Kisah Bella didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan.
Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.