Khamis, 5 Mei 2022 | 5:56pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Jangkitan HFMD melonjak

PUTRAJAYA: Kes jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda sehingga ME 17/2022, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu, berbanding 1,752 kes bagi ME 17/2021.

Sehingga kini, katanya, sejumlah 767 kes dilaporkan di negara ini dengan tiga negeri mencatat kes tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 259 kes (33.7 peratus), diikuti Selangor dengan 100 kes (13.0 peratus), dan Perak dengan 98 kes (12.8 peratus).

"Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara bayi kurang setahun hingga enam tahun iaitu sebanyak 21,508 kes (96 peratus), diikuti kumpulan usia antara tujuh hingga 12 tahun iaitu 729 kes (3 peratus), dan selebihnya dalam lingkungan usia lebih 12 tahun.

"Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska dan prasekolah iaitu 600 kes (72 peratus) diikuti di rumah persendirian dengan 186 kes (24 peratus), dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 26 kes (empat peratus)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penyakit HFMD berpunca daripada Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

Katanya, virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

"Lazimnya, jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan

myocarditis," katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata, orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

Ia termasuk membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

Mereka juga dinasihatkan menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin, tidak berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu, selain sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya.

"Kerap mencuci semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, dan lantai sekurang-kurangnya dua kali sehari, membawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mempunyai tanda atau gejala jangkitan.

"Ibu bapa dinasihatkan tidak membawa anak-anak bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat beli-belah, stesen bas, dan lain-lain; serta tidak menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah jika mendapati mereka menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan.

"Kanak-kanak yang sakit harus dibawa ke klinik untuk rawatan," katanya.

Berita Harian X