Khamis, 5 Mei 2022 | 5:41pm
 Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram

Sri Ram ketuai rayuan kerani kes basikal lajak

PUTRAJAYA: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan kerani, Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak.

Peguam Harvinderjit Singh ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Harvinderjit berkata, beliau akan hadir bersama Sri Ram untuk mewakili Ke Ting sambil menambah pelantikan mereka sudah dimuktamadkan hari ini.

Katanya, Ke Ting bertemu Sri Ram di pejabatnya hari ini dan beliau bersetuju menjalankan rayuan itu bagi pihak wanita berkenaan sambil menambah peguamnya, Faizal Mokhtar juga akan menjadi sebahagian daripada pasukan perundangan itu.

"Saya akan memaklumkan kepada timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan mengenai pelantikan mereka dan juga akan meminta rekod rayuan disediakan untuk menyediakan kes serta petisyen rayuan," katanya.

Pengurusan kes bagi rayuan Ke Ting ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd Khairi Haron pada Rabu depan.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Ke Ting untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Ke Ting menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda diputuskan Mahkamah Tinggi pada 13 April dan dia dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Ke Ting selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu, yang melepas dan membebaskan wanita itu.

Beliau juga memerintahkan wanita itu dikenakan penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda dan larangan memandu selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Ke Ting yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – BERNAMA

Berita Harian X