Rabu, 4 Mei 2022 | 3:04pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

JKN tunggu keputusan ujian makmal doktor pelatih ditemui maut

PUTRAJAYA: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan kematian seorang doktor pelatih yang ditemui jatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin, berkata mangsa adalah seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu pada awal bulan lalu.

Beliau berkata, mangsa ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 4 April lalu sebelum ditemui meninggal dunia pada 17 April.

"Adalah dimaklumkan bahawa kes ini adalah bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengarahkan bedah siasat dijalankan. Bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik, HPP. Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal.

"Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Dr Ma'arof memohon kerjasama semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih kerana kes masih dalam siasatan pihak polis serta bagi menghormati keluarga mangsa.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya dan HPP akan memberi sepenuh kerjasama kepada PDRM dalam siasatan selanjutnya.

Sementara itu, KKM serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dituntut memberi penjelasan berhubung kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, berkata pihak berkuasa kesihatan perlu menyiasat secara menyeluruh kejadian itu memandangkan insiden berkenaan adalah yang kedua membabitkan seorang doktor pelatih dalam tempoh kurang dua tahun.

Katanya, beliau sendiri pernah membangkitkan isu waktu kerja tidak berperikemanusiaan yang tidak logik dihadapi doktor pelatih berdasarkan pengalaman keluarganya sendiri, yang tidak pernah berlaku dalam kalangan pekerja sektor lain.

"Namun maklum balas yang saya dapat daripada pihak berkuasa kesihatan termasuk ahli politik adalah, semua doktor perlu melaluinya. Ia seperti budaya yang diterima dalam profesion perubatan," katanya melalui Facebook.

Norlela berkata, dia dimaklumkan isu beban kerja berlebihan berlaku disebabkan kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun beliau menegaskan, ramai graduan perubatan perlu menunggu lama untuk mendapatkan pekerjaan, malah ada yang tidak mendapatnya.

"Adalah tidak logik untuk KKM membenarkan perkara ini berterusan memandangkan doktor perlu membuat keputusan 'hidup mati' apabila merawat pesakit dalam situasi yang mereka hadapi," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pula berpendapat, ia bukan masanya untuk merahsiakan kejadian itu berikutan tahap tekanan tinggi dan 'buli' membabitkan doktor muda pernah juga didedahkan pihak media.

"Kami memahami tekanan dihadapi golongan perubatan, tetapi kementerian mesti mempunyai strategi pengurusan lebih baik.

"Jangan biarkan hospital kita menjadi tempat di mana semua doktor muda gugur. Doktor menjaga kita dan sebagai ganti, kita juga mesti menjaga mereka," katanya melalui Facebook.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, yang mengesahkan kematian pelatih itu, tidak menolak kemungkinan kes diklasifikasikan semula sekiranya ada bukti terkini.

Berita Harian X