Selasa, 3 Mei 2022 | 9:14pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Bekalan air pulih

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 472 kawasan terjejas akan disalurkan secara berperingkat mulai 9 malam ini dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi esok.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang didapati tercemar sudah mula beroperasi pada jam 3.30 petang tadi.

"Air Selangor ingin memaklumkan status terkini henti tugas sementara LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran yang telah dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

"Untuk makluman semua pengguna, proses rawatan air sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan air bersih dan terawat dapat dibekalkan kepada pengguna," katanya.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang tadi.

Air Selangor turut memberitahu, bagi kawasan terjejas yang menerima bekalan air dari LRA Bukit Tampoi, syarikat air berkenaan akan mengaktifkan sumber bekalan air alternatif dari LRA Sungai Semenyih bagi kegunaan pengguna.

Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air dikawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Berita Harian X