Selasa, 3 Mei 2022 | 4:22pm

MySejahtera kesan penyakit berjangkit termasuk HFMD

KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera kini dilengkapi ciri-ciri baharu iaitu fungsi 'Hotspot Tracker' untuk menjejaki titik panas penyakit berjangkit termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ciri baharu ditambah baik daripada pengesan titik panas kes COVID-19 sebelum ini, turut berupaya mengesan lokasi sama bagi tiga lagi penyakit berjangkit iaitu denggi, rabies (penyakit anjing gila) dan demam campak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melalui akaun Twitter beliau turut berkongsi mengenai ciri baharu itu.

"Update (kemas kini) terkini MySJ (MYSejahtera) memperkenalkan ciri baharu. Boleh tengok penyakit berjangkit seperti HFMD," katanya yang turut berkongsi dua tangkap layar paparan ciri 'Infectious Disease Tracker' (pengesan penyakit berjangkit) pada aplikasi itu.

Sebelum ini, Khairy pernah memaklumkan fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19, akan diubah sebagai 'Infectious Disease Tracker' untuk melihat kawasan titik panas penyakit lain seperti rabies, demam campak, HFMD dan denggi.

Tinjauan pada ciri-ciri baharu itu mendapati 84 kes aktif HFMD dipaparkan dalam lingkungan 5000 meter radius untuk tempoh tujuh hari terakhir.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy turut menasihatkan orang ramai supaya terus menggunakan pelitup muka apabila berada di tempat tertutup atau sesak.

Langkah itu, katanya bagi mengelakkan individu daripada dijangkiti COVID-19 atau menjangkiti virus itu antara satu sama lain.

"Saya berharap sambutan Aidilfitri anda ceria pada hari raya kedua. Terus pakai pelitup muka di kawasan tertutup atau sesak.

"Jika bergejala buat ujian kendiri dan lapor di aplikasi MySejahtera," katanya menerusi ciapan sama.

Terdahulu, Khairy turut berkongsi beberapa gambar memperlihatkan beliau menemui petugas kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terpaksa bertugas pada cuti Aidilfitri.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada kakitangan bertugas yang berdedikasi serta melakukan pengorbanan luar biasa demi kesejahteraan rakyat.

Khairy juga berkesempatan melawat kanak-kanak yang sedang dirawat di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur sempena dengan Aidilfitri.

"Semoga mereka cepat sembuh dan sihat sejahtera semula," tulisnya pada keterangan gambar.

Berita Harian X