Selasa, 3 Mei 2022 | 3:13pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

472 kawasan alami gangguan air bermula 3 petang ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 3 petang hari ini.

Gangguan bekalan dialami berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan, henti tugas sementara berlaku di LRA Sungai Semenyih jam 6.15 pagi, manakala di LRA Bukit Tampoi jam 11.30 pagi ini.

"Semua 472 kawasan terjejas membabitkan 172 di Petaling, 54 di Hulu Langat, 196 di Sepang, 23 di Putrajaya dan 27 di Kuala Langat.

"Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal.

"Air Selangor juga sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas," katanya melalui laman Facebook hari ini.

Air Selangor turut menasihatkan pengguna di kawasan terjejas menyimpan air secukupnya sehingga bekalan air dapat disalurkan kembali.

Berita Harian X