Isnin, 2 Mei 2022 | 8:03am

Elak lalu laluan sesak - Polis

MACHANG: Polis mengenal pasti tiga lokasi panas yang sering berlaku kesesakan lalu lintas di daerah ini dan mencadangkan laluan alternatif selain menempatkan anggota di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohamad Rusli Mat, berkata lokasi itu membabitkan Jalan Persekutuan Tanah Merah-Machang-Pasir Puteh (Simpang tiga Paloh Rawa menghala ke Tanah Merah); Jalan Persekutuan Tanah Merah-Machang-Pasir Puteh (lampu isyarat Wakaf Bata menghala ke Tanah Merah); dan Jalan Persekutuan Kota Bharu-Machang-Kuala Krai (Simpang tiga Pangkal Gong menghala ke Kota Bharu).

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif dengan membuat hebahan menggunakan platform media sosial mengenai penutupan jalan Simpang Tiga Paloh Rawa menghala ke Tanah Merah sepanjang Op Selamat sebagai persediaan awal supaya tidak melalui jalan berkenaan bagi memastikan kelancaran trafik di musim perayaan.

"Walau bagaimanapun, bagi pengguna jalan raya laluan Kuala Krai-Machang-Pasir Puteh, mereka boleh menggunakan laluan dari simpang tiga Bukit Bakar-Bukit Tiu-Banggol Judah-Pasir Puteh.

"Bagi yang dari Kota Bharu-Machang-Kuala Krai, mereka boleh menggunakan laluan dari simpang tiga Kampung Joh-Pulai Chondong-Kelaweh-Paloh Rawa-Kuala Krai dan bagi yang menghala dari arah Tanah Merah-Machang-Kota Bharu disarankan menggunakan laluan dari Paloh Rawa-Kelaweh- Kampung Joh-Labok- Kota Bharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Op Selamat ke-18 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pulai Chondong, di sini, semalam.

Mohamad Rusli berkata, selain itu, pihaknya turut mengenal pasti tiga kawasan hitam yang sering berlaku kemalangan maut terutama pada musim perayaan.

"Lokasi itu adalah di KM44 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai (Flyover simpang empat Machang); KM 1.6 Jalan Machang- Pasir Puteh (Simpang tiga Kolam Abu); dan KM 51.3 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai (di hadapan Sekolah Kebangsaan Pek).

"Kami akan mengambil tindakan tegas melalui penguatkuasaan di lapangan dengan menitik beratkan pesalah trafik yang bersikap pentingkan diri serta melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan berlaku kesesakan dan kemalangan.

"Kami juga memberi fokus kepada enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi laporan isyarat, memotong barisan kenderaan, memotong di dua garisan berkembar, dan memandu sambil menggunakan peralatan komunikasi," katanya.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohamad Rusli Mat menyampaikan cenderamata kepada pemandu ketika Op Selamat ke-18 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pulai Chondong, Machang semalam. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohamad Rusli Mat menyampaikan cenderamata kepada pemandu ketika Op Selamat ke-18 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pulai Chondong, Machang semalam. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X