Ahad, 1 Mei 2022 | 4:30pm

Bekalan air dari LRA Sungai Semenyih pulih

KUALA LUMPUR: Bekalan air di semua kawasan terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) sejak semalam dipulihkan sepenuhnya jam 3 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata bekalan air yang membabitkan lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Beliau berkata selain itu, ada juga kerja pembaikan bagi paip pecah di Rumah Pam Pudu Ulu Baru, Taman Pertama, Kuala Lumpur.

"Setakat jam 1.30 tengah hari, kerja pembaikan sudah siap dilaksanakan. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4 pagi 2 Mei 2022," katanya.

"Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Berita Harian X