Ahad, 1 Mei 2022 | 3:27pm
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

Bomba optimum persediaan hadapi risiko kemalangan, kebakaran

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengoptimumkan langkah kesiapsiagaan mendepani sebarang risiko kemalangan atau kebakaran susulan kemasukan negara ke Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April dan sambutan perayaan Aidilfitri.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata kerajaan mahu jabatan itu membuat persediaan dengan melihat kepada aspek penilaian risiko menerusi Langkah Kesiapsiagaan Endemik Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata penilaian jabatan itu merangkumi risiko kebakaran hutan dan krisis air berikutan musim kering dihadapi negara ketika ini, perubahan cuaca mendadak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat serta pergerakan individu ketika penularan COVID-19 masih berlaku dalam komuniti.

"Apabila sempadan dibuka, aktiviti komersial dan industri kembali rancak, begitu juga dengan kemasukan pelancong.

"Operasi bazar Ramadan sempena bulan puasa ini juga lebih sesak dan dibimbangi meningkatkan penularan jangkitan COVID-19," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohammad Hamdan berkata bomba juga akan mengoptimumkan persediaan berdepan risiko kemalangan berikutan pertambahan pergerakan manusia terutama pada musim perayaan Aidilfitri yang menyebabkan lebihan kenderaan di jalan raya.

Beliau berkata anggota-anggota jabatan itu akan membuat rondaan dan siap sedia di kawasan rehat dan rawat lebuh raya yang menjadi titik panas kemalangan terutama pada musim perayaan ini.

Selain itu, JBPM akan turut meningkatkan pemantauan di bangunan-bangunan pengurusan komersial seperti pusat beli-belah, restoran dan hotel serta kawasan rekreasi terutama air terjun.

Sehubungan itu, Mohammad Hamdan berkata jabatan menyediakan aset-aset yang akan digerakkan untuk pelaksanaan langkah itu menerusi 12,500 petugas di seluruh negara.

"Aset-aset darat, marin dan sembilan helikopter jabatan juga diletakkan dalam mod siap siaga melibatkan kesemua 325 balai di seluruh negara," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X