Ahad, 1 Mei 2022 | 10:18am
Foto hiasan
Foto hiasan

Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat

KUALA LUMPUR: Bekalan air yang terjejas akibat pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih di enam wilayah membabitkan 463 kawasan kembali pulih secara berperingkat bermula awal pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna bermula jam 12.15 pagi.

"Setakat jam 6 pagi hari ini, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas sudah mencapai tahap 48 peratus dengan kadar peratus pemulihan bekalan di Sepang mencecah 96 peratus, manakala di Kuala Langat mencecah 70 peratus.

"Sementara itu di Putrajaya, bekalan sudah pulih 57 peratus, Hulu Langat di peringkat 15 peratus, dan di Petaling setakat ini masih kosong peratus. Buat masa ini terdapat 172 kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 3 petang, ini.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Bantuan alternatif melalui lori tangki masih lagi digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal," katanya.

Jelas beliau, Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

"Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," katanya.

Elina berkata, pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Semalam, media melaporkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan berhubung pencemaran bau seakan diesel di muka sauk LRA Sungai Semenyih (Jenderam Hilir).

Pencemaran dilaporkan oleh Air Selangor pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

Berita Harian X