Ahad, 1 Mei 2022 | 12:30am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

LRA Sungai Semenyih: Kerja pembersihan capai 59 peratus

KUALA LUMPUR: Kerja pembersihan dan proses rawatan air di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) berikutan insiden pencemaran di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, mencapai tahap 59 peratus setakat jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini menyebut, bekalan air bersih dijangka akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula jam 12.30 tengah malam ini.

Menurut Air Selangor, bekalan air di kawasan-kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya pada 3 petang, 1 Mei 2022.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," menurut kenyataan itu.

Menurut Air Selangor, bantuan lori tangki masih lagi digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal dan Air Selangor berusaha untuk meminimumkan impak gangguan air tersebut kepada pengguna yang terjejas.

Bagi sebarang pertanyaan para pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 ataupun Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

Berita Harian X