Sabtu, 30 April 2022 | 6:05pm

Ayam seekor RM5 jadi tumpuan

KUALA SELANGOR: Sebanyak 20,000 ekor ayam dijual dengan harga RM5 seekor sempena sambutan Aidilfitri pada program Jualan Harga Patut (JHP) Syawal yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Padang Astaka, di sini.

Pembeli mula berkumpul untuk membeli ayam di khemah yang disediakan di lokasi berkenaan seawal jam 8 pagi.

Bagaimanapun, setiap pembeli hanya dibenarkan membeli dua ekor ayam bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung mendapatkan bekalan ayam dengan harga murah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata sebanyak 10,000 ekor ayam dijual hari ini, manakala 10,000 lagi akan dijual esok.

Beliau berkata, turut dijual pada harga istimewa adalah daging lembu segar pada harga RM30 satu kilogram berbanding harga di pasaran RM40 satu kilogram.

"Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) turut menyertai program ini bagi menjual barangan keperluan kepada penduduk.

"Antara barangan berkenaan seperti minyak, beras, tepung dan gula pada harga RM2 untuk satu paket," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas program itu, hari ini.

Hadir sama, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Pada masa sama, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyampaikan sumbangan kepada 3,000 golongan asnaf di Parlimen Tanjong Karang untuk meringankan beban membuat persiapan menyambut kehadiran 1 Syawal.

"Mereka menerima sumbangan wang tunai yang diagihkan selama dua hari bermula hari ini.

"Apabila kita beri wang tunai, sudah pasti mereka akan membeli barangan keperluan termasuk ayam dan daging sempena program JHP Syawal ," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Omar mengagihkan ayam kepada penduduk sempena Jualan Harga Patut (JHP) Syawal di Padang Astaka, hari ini Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Omar mengagihkan ayam kepada penduduk sempena Jualan Harga Patut (JHP) Syawal di Padang Astaka, hari ini Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Berita Harian X