JELI: Perjalanan pulang selepas berbuka puasa bersama ibu di Kampung Kalai dekat sini berakhir tragedi buat sebuah keluarga terbabit dalam nahas dua kenderaan mengorbankan dua mangsa malam tadi.
Kemalangan jam 10.45 malam di Kilometer 108, Jalan Raya Timur Barat itu, mengorbankan Mohd Hazlan Ibrahim@Saleh, 33, manakala isterinya, Norshara Ezila Mohd Asri, 31 serta dua anak perempuan mereka yang berusia 6 dan 8 tahun cedera parah.
Mayat seorang lagi mangsa, Muhamad Baijuri Mohd Shariff, 26, yang pada asalnya disangka melarikan diri selepas terbabit kemalangan, ditemukan ahli keluarga pada jam 7 pagi tadi dalam longkang kira-kira 10 meter dari lokasi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu Muhamad Baijuri terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.
"Proton Wira itu terus bertembung Perodua Alza yang dinaiki Mohd Hazlan bersama isteri dan tiga anaknya yang datang dari arah Batu Melintang ke Jeli. Difahamkan mereka baru pulang berbuka puasa di rumah ibu Mohd Hazlan di Kampung Kalai.
"Kedua-dua pemandu maut di lokasi kejadian yang mana jasad Muhamad Baijuri ditemukan dalam longkang kira-kira 10 meter dari lokasi.
"Pada asalnya pemandu Proton Wira itu didapati tiada di lokasi selepas kejadian dan kami cuba mengesan namun gagal sebelum jasadnya ditemukan ahli keluarga pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shuhaimi berkata, dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat, termasuk isteri Mohd Hazlan yang dirawat di hospital sama, manakala dua anak mereka yang patah beberapa anggota badan dirawat di Hospital Tanah Merah.
Seorang lagi anak Mohd Hazlan yang berusia setahun, Mohd Akil Arash, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.