PUTRAJAYA: Penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja adalah pada 1 Januari depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata penangguhan kuat kuasa gaji minimum kepada majikan berkenaan bertujuan memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk membuat persediaan sewajarnya.
"Oleh yang demikian, bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Disember ini, kadar gaji minimum yang terpakai (bagi majikan kurang lima pekerja) ialah seperti Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 iaitu RM1,200 sebulan bagi tempat pekerjaan di kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran serta dan RM1,100 sebulan bagi kawasan lain," katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Saravanan turut menegaskan bahawa Kerajaan memutuskan tiada penundaan diberikan kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan memandangkan kerajaan sudah memberi bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan COVID-19 seperti Program Subsidi Upah yang berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.
"Ini juga bagi memastikan pekerja mendapat manfaat daripada peningkatan gaji minimum," katanya.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelulusan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 di seluruh negara bermula 1 Mei ini.
Ismail berkata, pelaksanaan berkenaan dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat sekali gus menekan golongan B40,
Dalam pada itu, Saravanan berkata bagi majikan yang mempunyai pekerja lebih daripada lima orang kadar gaji minimumnya kekal berkuat kuasa pada 1 Mei ini.
"Penguatkuasaan itu juga kekal kepada majikan yang menjalankan sesuatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020.
"Ia termasuklah bidang profesional sains dan kejuruteraan; kesihatan; perguruan; perniagaan dan pentadbiran; teknologi maklumat dan komunikasi; perundangan; perkhidmatan hospitaliti dan yang berkaitan; sosial dan kebudayaan dan badan pengawalaturan tanpa mengira jumlah pekerja yang digajikan," katanya.
Dalam pada itu, Saravanan turut memaklumkan pihaknya turut memperincikan dalam PGM 2020 mengenai kadar gaji minimum harian dan jam serta kadar gaji bagi pekerja yang tiada gaji pokok tetapi dibayar melalui tugasan dan produktiviti seperti komisen, upah ikut kerja (piece rate).
"Pelaksanaan gaji minimum ini tidak terpakai kepada pekhidmat domestik sebagaimana PGM terdahulu. Penguatkuasaan gaji minimum akan dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Bagi gaji Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI), ia akan dibayar tidak kurang daripada kadar gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini seperti yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia yang ditandatangani pada 1 April 2022.
"Sehubungan itu, semua majikan diminta mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu ini," katanya.
Kerajaan menjangkakan peningkatan gaji minimum ini akan memberi impak positif kepada negara, majikan dan pekerja yang akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.
"Peningkatan gaji minimum juga akan membantu mencapai hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. Selain itu, kadar gaji minimum yang diputuskan ini adalah wajar bagi memastikan kebajikan pekerja terutama yang berpendapatan rendah terpelihara.
"Malah, pihak majikan juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna," katanya.