Sabtu, 30 April 2022 | 12:51pm

Hubungan Malaysia-Singapura tak terjejas

KUANTAN: Hubungan Malaysia dan Singapura tidak terjejas susulan kes D Nagaenthran yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura Rabu lalu, selepas didapati bersalah menyeludup dadah ke negara itu pada 2009.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata kerajaan Malaysia menghormati lunas undang-undang yang dijalankan Singapura.

Katanya, dari segi hubungan diplomatik, ia tidak terjejas kerana saling memahami antara satu sama lain iaitu keperluan setiap kerajaan dan negara untuk menegakkan keluhuran undang-undang masing-masing.

"Dalam kes Nagaenthran, ini bukan kes pertama rakyat Malaysia terpaksa menjalani hukuman mati di Singapura.

"Sekurang-kurangnya dua pusingan apabila pihak kerajaan mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan keampunan dan dikurangkan hukuman ke atas Nagaenthran.

"Pada pusingan pertama saya mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob kepada Perdana Menteri Singapura.

"Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah juga mengutus surat kepada Presiden Republik Singapura.

"Pada minggu akhir sebelum hukuman dilaksanakan, Perdana Menteri dan saya mengutus sekali lagi surat termasuk mencadangkan pertukaran banduan.

"Kedua-dua surat itu dibalas dengan baik oleh kerajaan Singapura," katanya ketika ditemui media pada Program MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri di perkarangan Wisma Belia Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Nagaenthran, 34, menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura.

Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.

Nagaenthran sepatutnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 November 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Mengulas cadangan pertukaran banduan, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Malaysia dan Singapura tiada sebarang perjanjian pertukaran banduan.

Katanya, kerajaan mencadangkannya dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan melihat lebih lanjut berhubung perkara itu.

"Kalau tidak berjaya pada masa ini, mungkin pada masa depan kerana kita bersedia pada tahap adanya pertukaran banduan ini," katanya.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah meninjau hasil jualan barang keperluan pada Program MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri di perkarangan Wisma Belia Indera Mahkota, Kuantan - Foto NSTP/Asrol Awang
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah meninjau hasil jualan barang keperluan pada Program MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri di perkarangan Wisma Belia Indera Mahkota, Kuantan - Foto NSTP/Asrol Awang
Berita Harian X