Sabtu, 30 April 2022 | 10:54am
Ahli keluarga membawa potret Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum gantung di Singapura pada Rabu lalu. - Foto AFP
Ahli keluarga membawa potret Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum gantung di Singapura pada Rabu lalu. - Foto AFP

Nagaenthran sudah lalui segala proses perundangan - PM Singapura

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan telah membalas surat rakan sejawatan masing-masing dari Malaysia pada Selasa (26 April) serta menjelaskan yang Nagaenthran K Dharmalingam telah melalui segala proses perundangan sewajarnya.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) dalam satu kenyataan menjawab pertanyaan media mengenai surat rayuan daripada pemimpin Malaysia mengenai pelaksanaan kehakiman Nagaenthran.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Pada Khamis (27 April), Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) memaklumkan kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sekali lagi menghantar surat kepada rakan sejawatan di Singapura minggu ini, meminta budi bicara pihak berkuasa Singapura mempertimbangkan untuk meringankan hukumannya.

Sebelum itu surat rayuan pertama kepada kerajaan Singapura dihantar Perdana Menteri dan Menteri Luar pada November 2021.

Pada Disember 2021, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengutus surat kepada Presiden Republik Singapura agar meringankan hukuman Nagaenthran.

Nagaentran, 34, menjalani hukuman gantung pada Rabu (27 April) di Penjara Changi, Singapura.

Berasal dari Perak, Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.

Nagaenthran sepatutnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 November 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Peguam Nagaenthran mendakwa bahawa dia kurang upaya daripada segi intelek. – BERNAMA

Berita Harian X