Jumaat, 29 April 2022 | 6:05pm

Nagaenthran selamat disemadikan

IPOH: Jasad mendiang Nagaenthran Dharmalingam, rakyat Malaysia yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura selamat disemadikan pada jam 5 petang di Krematorium Buntong, Jalan Madras di sini.

Jasad Nagaenthran yang dibawa dari rumahnya di Taman Indah Tanjung Rambutan pada jam kira-kira 3 petang tiba di pusat pembakaran mayat itu pada jam 4 petang.

Sebaik jasad mendiang tiba, suasana hiba menyelubungi pekarangan krematorium itu apabila ahli keluarga dan rakan tidak dapat menahan kesedihan sejurus jasad Nagaenthran diuruskan mengikut adat dan kepercayaan agama hindu.

Upacara keagamaan berlangsung selama satu jam yang turut diiringi dengan pukulan gendang sebagai memulakan upacara.

Ahli keluarga yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta meletak bunga pada mendiang.

Jasad Nagaenthran kemudiannya dibawa ke pusat pembakaran pada jam 5 petang untuk proses persemadian mengikut cara dibakar.

Rabu lalu, media melaporkan hukuman mati terhadap Nagaenthran, 34, anak kedua daripada empat beradik itu dilaksanakan di Singapura selepas cabaran undang-undang terakhir yang dibuat oleh ibunya, gagal dalam kes berprofil tinggi itu yang turut menarik tumpuan antarabangsa untuk pengampunan.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya menjalani hukuman pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Keluarga terdekat memberi penghormatan terakhir ke atas jasad Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura Rabu lepas di rumahnya di Taman Indah Tanjung Rambutan hari ini. - Foto NSTP/L Manimaran
Keluarga terdekat memberi penghormatan terakhir ke atas jasad Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura Rabu lepas di rumahnya di Taman Indah Tanjung Rambutan hari ini. - Foto NSTP/L Manimaran
Berita Harian X