Khamis, 28 April 2022 | 8:59pm
Nancy (tengah) menyampaikan bantuan kewangan kepada syarikat pengendalian pelancongan pada majlis penyampaian bantuan kewangan kepada penggiat industri pelancongan peringkat Sabah hari ini. Foto Bernama
Nancy (tengah) menyampaikan bantuan kewangan kepada syarikat pengendalian pelancongan pada majlis penyampaian bantuan kewangan kepada penggiat industri pelancongan peringkat Sabah hari ini. Foto Bernama

MOTAC terima 182 permohonan baiki inap desa

LAHAD DATU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima 182 permohonan lengkap daripada pengusaha inap desa yang berdaftar bagi Geran Padanan Pembaikan Inap Desa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata semua permohonan daripada pengusaha berdaftar menerusi Program Pengalaman Inap Desa Malaysia yang direkodkan setakat 25 April itu kini dalam proses semakan Jawatankuasa Penilaian Teknikal kementerian.

"Daripada 182 permohonan itu, terdapat 19 permohonan daripada pengusaha inap desa di Sabah.

"Selain itu, setakat Isnin lalu juga, MOTAC turut menerima 16 permohonan daripada pengusaha hotel bajet berstatus orkid di seluruh negara bagi geran sama," katanya berucap pada sesi jerayawara Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) di sini, hari ini.

Pada sesi jewaraya itu, Nancy turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada 10 wakil pemain industri pelancongan di Sabah.

Bayaran sebanyak RM9,000 itu disumbangkan kepada lima syarikat pengendali pelancongan dan agensi pengembaraan berlesen, manakala lima pengusaha inap desa masing-masing menerima RM1,800.

Kerajaan Persekutuan menerusi Bajet 2022 memperuntuk RM30 juta bagi pemberian Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Inap Desa dan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Kepada Hotel Bajet di bawah MOTAC.

Nancy berkata, jumlah permohonan geran itu dijangka meningkat sebelum tarikh tutup permohonan pada 30 April ini.

Beliau berkata, MOTAC kini giat melaksanakan jerayawara di seluruh negara bagi memberikan penjelasan lebih terperinci kepada pemain industri pelancongan berhubung geran bernilai RM50 juta yang disediakan kerajaan.

"Bagi siri jerayawara di Lahad Datu yang diadakan sebentar tadi, saya sebanyak enam badan bukan kerajaan (NGO) kebudayaan hadir dan layak memohon bantuan GSSK," katanya.

Nancy berkata, insentif yang disediakan kerajaan dapat membantu mengurangkan beban pemain industri yang terkesan, seterusnya menyemarakkan industri seni, budaya serta warisan.

"Saya juga berharap geran ini dapat diuar-uarkan kepada pengusaha pelancongan yang lain bagi memastikan peluang disediakan dapat dioptimumkan sebaiknya," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X